Rakphol 'asah' mental pemain futsal

Rakphol (kiri) mengendalikan sesi latihan pertama skuad futsal negara di Kelana Jaya pada Isnin. - Foto Facebook FAM
Rakphol (kiri) mengendalikan sesi latihan pertama skuad futsal negara di Kelana Jaya pada Isnin. - Foto Facebook FAM
A
A
A

JURULATIH baharu skuad futsal lelaki negara, Rakphol Sainetngam menuntut para pemain mengubah sikap dengan menanam mentaliti menang yang sentiasa dahagakan kejayaan.

Beliau berkata, para pemain juga perlu mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri sekiranya mahu melihat sukan tersebut menuju ke tahap yang lebih membanggakan.

“Sangat teruja kerana ini hari pertama saya bersama pasukan kebangsaan. Saya adalah jurulatih biasa di Asia tetapi mahu menukar ‘attitude’ pemain kepada laparkan kemenangan.

“Saya sudah memberitahu pemain yang kita bukan pasukan kecil dan perlu berlatih dengan kuat jika mahu mencapai kejayaan,” katanya ketika ditemui media di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Rakphol yang mempunyai reputasi hebat sebagai jurulatih di peringkat Asia juga menuntut para pemain tidak takut untuk bersaing dengan menjadikan harimau sebagai DNA permainan Malaysia.

“Saya akan gunakan corak permainan serta latihan berintensiti tinggi dan pemain juga perlu berikan 100 peratus dalam latihan. Saya akan lakukan yang terbaik buat Malaysia,” katanya.

Skuad negara dijangka berada di Thailand bermula dari 24 hingga 30 September dan bakal menjalani tiga aksi persahabatan menentang Afghanistan, Taiwan dan Thailand untuk persiapan ke kelayakan Piala Asia 2024 di Uzbekistan, Oktober depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama tuan rumah Uzbekistan, Iraq dan Kemboja.

Artikel Berkaitan:

“Dalam aksi persahabatan apa yang saya mahu bukan keputusan tetapi pemain beraksi sebagai satu pasukan dan memperbaiki corak bertahan serta serangan selain mereka memahami sistem permainan yang mahu diterapkan,” jelasnya.

Rakphol juga tidak gentar dengan saingan Malaysia di peringkat kelayakan biarpun sedar dengan kekuatan lawan, sebaliknya menganggap ia sebagai ujian yang bagus buat para pemain untuk menilai tahap persediaan pasukan.

“Iraq dan Uzbekistan adalah pasukan yang kuat tetapi ini adalah peluang untuk menguji tahap kami. Saya mahu menukar mentaliti para pemain. jika ini dapat diubah segalanya mampu dilakukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!