Malaysia kena lebih berani

Laporan Sukan Sinar pada Selasa. Gambar kecil: Pekan
Laporan Sukan Sinar pada Selasa. Gambar kecil: Pekan
A
A
A

KONTINJEN negara Asia Tenggara lain disifatkan lebih berani dalam menetapkan sasaran pingat pada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang menyingkap tirai bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

Itu reaksi penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli susulan pengumuman kontinjen Malaysia yang tidak menetapkan sasaran secara spesifik mengikut warna pingat buat kali pertama sejak beberapa dekad bagi mengelakkan tekanan melampau kepada para atlet.

Sebaliknya kontinjen Malaysia mengambil pendekatan selamat apabila menyasarkan 27 pingat secara keseluruhan pada edisi ke-19 tersebut.

Malah, jelas Pekan pesaing Malaysia dalam kalangan negara Asia Tenggara lebih praktikal dalam penetapan pingat dan sasaran di Hangzhou.

“Saya tabik kepada negara-negara jiran serantau kita, mereka seperti bertapak-tapak di hadapan kita. Falsafah negara-negara jiran kita itu tidak memeningkan peminat sukan negara mereka kerana congakkan mereka tidak rumit.

“Tuan rumah Sukan Asia 2018, Indonesia mensasarkan lapan hingga 12 pingat emas untuk kedudukan ke-12 keseluruhan di Hangzhou nanti. Vietnam pula mensasarkan untuk memperolehi lebih lima pingat emas untuk kedudukan lebih baik daripada tempat ke-16 keseluruhan sewaktu di Palembang.

“Fillipina turut mensasarkan lebih empat pingat emas di Hangzhou untuk memperbaiki pencapaian ke-19 keseluruhan. Rasanya kebanyakan negara Asia Tenggara tidak mengambil pendekatan yang sangat saintifik seperti digunapakai kontinjen Malaysia di Sukan Asia Hangzhou ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt sebelum ini menegaskan terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wushu dan e-sukan sebagai sukan yang diletakkan sandaran pingat pada kali ini.

Artikel Berkaitan:

Pada edisi ke-19 itu, kontinjen Malaysia akan disertai oleh 289 atlet serta 145 pegawai dan bakal menyertai 22 daripada 40 sukan melibatkan 121 daripada 481 acara.

Jelas Pekan, pendekatan penetapan pingat itu juga secara tidak hanya memperlihatkan matlamat akhir tetapi juga pemikiran matlamat akhir kontinjen negara terhadap temasya sukan terbesar benua Asia tersebut.

“Macam kelakar pun ada apabila bila diumumkan sasaran Sukan Asia Hangzhou kali ini untuk capai 27 jumlah pingat tak kira apa warna. Bukan sasaran pingat emas seperti amalan-amalan sebelum ini.

“Hebat sungguh pemimpin-pemimpin sukan negara kita, buat pelbagai analisis perbandingan, purata pencapaian pingat dengan jumlah atlet yang dihantar dan acara yang disertai dan sebagainya, kompleks sungguh perkiraannya. Mungkin tak terkomen netizen sukan negara, semuanya kononnya berdasarkan fakta, bukan 'auta'.

“Lebih hebat apabila kononnya kita ikut nasihat Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun itu. Hairan saya benarkah nasihat mereka supaya kita jangan tetapkan sasaran pingat emas emas kepada atlet, letak sasaran pingat sudah cukup? Takut mereka nasihat lain kita buat lain,” katanya.

Pada masa sama Pekan mempersoalkan kewajaran pengumuman sasaran pingat emas boleh menyebabkan tekanan berlebihan kepada atlet sekali gus menjejaskan tumpuan mereka untuk pamerkan prestasi terbaik di Hangzhou.

“Sebab apa? Takut atlet tertekan? Hanya atlet yang mampu mengatasi tekanan sahaja yang boleh jadi atlet hebat. Kalau tidak level jaguh kampung atau Sukan SEA sahajalah. Janganlah pakai alasan kuno ini, memalukan ramai orang bijak pandai sukan di negara ini. Elok atlet kita tukar ke aktiviti rekreasi main dam haji atau main congkak sahaja.

“Seperkara lagi kenapa nak tiru macam Jepun tak sasarkan jumlah pingat emas. Tapi sedarkah kita bahawa Jepun memang tak sasarkan pingat emas, tetapi mereka yang menduduki tempat kedua keseluruhan edisi Jakarta-Palembang 2018 dengan 75 pingat emas 56 perak dan 74 gangsa kini mensasarkan kedudukan tiga teratas.

“Jadi kalau sasaran sebegitu bermakna berapakah jumlah pingat emas yang perlu mereka perolehi di Hangzhou? Bolehkah kita nak ikut seperti Jepun dalam bab sasaran ini? Kita 'level' lain,” katanya lagi.

Tambah Pekan lagi, tidak hanya Jepun tetapi juga Korea Selatan juga tidak meletakkan sasaran pingat emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 kali ini.

“Namun Korea Selatan mengakhiri cabaran edisi Jakarta-Palembang 2018 ketiga terbaik dengan 49 pingat emas, 58 perak dan 70 gangsa kali ini mensasarkan untuk tempat kedua keseluruhan di belakang China.

“Bayangkanlah, walaupun tidak sasarkan pingat emas tetapi untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan berapakah agaknya pingat emas yang perlu mereka kejar nanti. Jadi janganlah bab pendekatan tidak mensasarkan pingat emas ini kita nak tiru mereka tetapi tak sedar yang acuan kita berbeza,” katanya.

Dalam pada itu Pekan menyarankan supaya insentif untuk atlet cemerlang di Sukan Asia Hangzhou 2022 dikaji semula berikutan penetapan baharu pingat kontinjen negara kali ini.

“Apa pun, jangan lupa kepada satu perkara, adakah nilai insentif mengikut warna pingat negara kali ini perlu setara atau tiada 'kasta' lagi kerana penanda aras aras sudah berubah.

“Mungkin pingat ke-27 negara nanti bukan pingat emas atau perak tetapi pingat gangsa dan pemenangnya perlu dijulang sebagai wira dan penyelamat kepada kontinjen Malaysia,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!