Pemilihan MCA: Tiga naib presiden akan pertahan jawatan
KUALA LUMPUR - Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong, Datuk Tan Teik Cheng dan Datuk Seri Ti Lian Ker akan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan parti peringkat pusat pada 24 September ini.
Mereka bakal berdepan dengan empat calon lain iaitu Ketua Wanita Sabah, Datuk Dr Pamela Yong; Timbalan Bendahari Agung, Datuk Lawrence Low Ah Kiong; Ahli Jawatankuasa Pusat, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Ketua Pemuda Kebangsaan, Datuk Nicole Wong untuk merebut empat kerusi naib presiden.
Sementara itu, 25 kerusi ditawarkan untuk Ahli Jawatankuasa Pusat yang menjadi rebutan 48 calon.
Terdahulu, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi kenyataan di Facebook rasmi berkata, beliau akan bertanding dengan bekas Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Tan Chong Seng bagi merebut jawatan presiden dalam pemilihan parti.
Beliau berkata, proses penamaan calon bagi Jawatankuasa Pusat MCA 2023 berjalan dengan lancar semalam, menyaksikan gelanggang bagi merebut kesemua jawatan di peringkat pusat dan sayap Pemuda serta Wanita kini dibuka.
Pemilihan untuk peringkat sayap Pemuda dan Wanita adalah pada 23 September ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!