Motosikal dipercayai disita, penghantar makanan jalan kaki undang sebak
SHAH ALAM - Video memaparkan seorang penunggang p-hailing berjalan kaki sambil menggalas beg penghantaran makanan mengundang sebak netizen.
Lelaki berkenaan dilihat berjalan dan masih memakai topi keledar dalam cuaca panas selepas tidak dapat meneruskan kerja mencari rezeki kerana motosikalnya dipercayai disita Jabatan Pengangkutan Jalan, di Nilai, Negeri Sembilan.
Hantaran tersebut dimuat naik oleh pengguna TikTok @kikkycoco yang berada di lokasi sewaktu pemeriksaan kenderaan dilakukan anggota penguat kuasa.
"Hina sangat ke kerja ni?
Kasihan abang tu nak cari rezeki.
Semoga abang dipermudahkan segala urusan," tulisnya di ruangan kapsyen.
Memetik laporan Mstar, dalam satu hantaran baharu yang dibuat pada Rabu, motosikal itu disita atas kesalahan tiada cukai jalan.
Pengguna TikTok itu kemudian meluahkan hasratnya untuk mendapatkan semula motosikalnya dengan meminta orang ramai membantunya dari segi kewangan.
"Saya ingin meminta satu permintaan daripada anda semua.
Sesiapa yang baik hati boleh hulurkan sedikit bantuan kewangan.
"Sekarang motor saya kena sita sekali dengan abang tu.
Saya masih lagi seorang pelajar jadi saya tak cukup duit untuk bayar keluarkan motor tu," katanya.
Bagaimanapun, dia berharap agar orang ramai tidak memandang negatif terhadap permintaannya.
"Saya tak nak orang anggap saya gunakan cara ni untuk dapatkan duit.
"Tapi saya bukan daripada keluarga yang senang," jelasnya lagi.
Hantaran tular yang meraih lebih 2.5 juta jumlah tontonan itu turut dikongsikan oleh warganet lain.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyita penunggang motosikal yang didapati melanggar kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan tegas itu akan dikuatkuasakan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan menunggang motosikal secara berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!