UMNO Pekan bantu menangkan calon DUN Pelangai

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

PEKAN - UMNO Pekan akan memberi fokus dan bekerja keras untuk memastikan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober depan.

Ketua UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Ariff berkata, bagi mencapai matlamat itu, kesiapsiagaan jentera UMNO Pekan penting bagi membantu calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan.

"Saya berharap semua kepimpinan, jentera UMNO Pekan memberi fokus yang maksimum dan berusaha sehabis baik berpandukan perancangan gerak kerja yang telah ditetapkan.

"UMNO bakal mengumumkan calon yang mewakili BN sebelum hari penamaan calon pada 23 September ini," katanya satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan dan Biro Politik UMNO Pekan di Bilik Mesyuarat Bangunan UMNO Pekan di sini.

Mohammad Fakhruddin berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dab Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah pun menyampaikan amanat agar jentera parti terus bekerja keras demi memastikan DUN Pelangai dapat dipertahankan BN Pahang.

Ujarnya, besar jasa Allahyarham Datuk Seri Johari Harun di Pelangai.

"Semoga ALLAH SWT permudahkan segala usaha UMNO demi agama, rakyat, kemakmuran dan kestabilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar memaklumkan DUN Pelangai meliputi Pekan Telemong, Mancis, tiga Skim Rancangan Felda, tiga ladang, empat kampung Baru Cina, 10 kampung tradisional termasuk Kampung Simpang Pelangai.

Jelasnya, DUN terbabit mempunyai pengundi berdaftar 16,456 orang.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!