Venice bakal perkenal yuran perjalanan sehari €5 terhadap pelancong
VENICE - Pelancong yang ingin menerokai bandar lagun Itali, Venice akan dikenakan yuran kemasukan berjumlah €5 (AS$5.40) pada hari-hari tertentu jika mereka tidak menginap di bandar berkenaan, menurut Majlis Bandar Raya pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Skim ini dijangka bermula pada musim bunga 2024 dan akan dilaksanakan pada 30 hari paling sibuk bagi pelancong, namun tarikh sebenar masih belum ditetapkan.
Bandar di pantai timur laut Itali itu merupakan antara destinasi pelancongan terbesar dunia - kini mempunyai kurang daripada 50,000 penduduk, namun semasa musim kemuncak, bandar ini kadangkala menerima lebih dari dua kali ganda pelancong.
Sebilangan besar pelancong, terutamanya mereka yang tiba dengan kapal persiaran dan hanya berada selama beberapa jam untuk meneroka bandar ini, telah menyebabkan masalah besar selama bertahun-tahun.
Bagaimanapun, rancangan untuk memperkenalkan bayaran masuk juga menjadi kontroversi dalam kalangan penduduk dan keputusan terbabit telah ditangguhkan beberapa kali.
Mengikut rancangan semasa, pelawat tanpa tiket yang sah boleh didenda antara €50 dan €300. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!