Pinda hukuman cubaan bunuh diri
SEKSYEN 309 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa mana-mana individu boleh didakwa jika beliau cuba untuk membunuh diri sendiri dengan kemungkinan dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Saya berpendapat, sudah tiba masa untuk pihak kerajaan mempertimbangkan memansuhkan kesalahan berkaitan dengan cubaan bunuh diri yang termaktub dalam Seksyen 309 Kanun Keseksaan tersebut.
Peruntukan yang wujud semenjak zaman kolonial itu dilihat tidak membawa sebarang kebaikan kepada sesiapa, sebaliknya hanya akan memburukkan lagi keadaan individu yang cuba untuk membunuh diri sendiri kerana mereka tidak memperoleh bantuan dan rawatan yang sepatutnya diperoleh mereka.
Malah, England sendiri sudah lama menghapuskan undang-undang sebegini sejak berdekad lalu.
Undang-undang itu pada awalnya diwujudkan sebagai pencegahan agar tiada individu yang cuba untuk mengambil langkah membunuh diri dalam mencari jalan singkat ketika berhadapan dengan pelbagai masalah hidup.
Namun, adakah peruntukan Seksyen 309 ini benar-benar memainkan peranannya dalam mencegah individu tertentu daripada membunuh diri?
Secara logik, tiada manusia yang secara sukarela mahu mengambil nyawanya sendiri jika mereka tidak berada dalam situasi yang getir dan hanya ada satu solusi dalam benak fikiran mereka, iaitu dengan membunuh diri.
Agak munasabah untuk kita mengambil kira bahawa jika seseorang itu hendak membunuh dirinya sendiri, ini bermakna beliau berkemungkinan berada dalam keadaan tertekan atau depresi.
Statistik global mengatakan bahawa hampir 90 peratus individu yang membunuh diri mempunyai masalah mental dan 60 peratus daripada mereka mengalami kemurungan.
Walaupun bukan setiap pesakit yang mengalami kemurungan berniat untuk membunuh diri, namun ramai dalam kalangan mereka didapati sudah lama bergelut dengan masalah itu.
Kaum wanita biasanya lebih kerap dilanda kemurungan, tetapi kaum lelaki mempunyai empat kali ganda lebih kecenderungan untuk membunuh diri apabila mengalami kemurungan atau depresi.
Depresi bukanlah satu kondisi yang boleh diambil ringan. Individu yang diserang dengan depresi biasanya mempunyai kemungkinan untuk membunuh diri kerana mereka mempunyai pelbagai masalah dalam fikiran.
Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa kadar bunuh diri di Malaysia adalah 1.3 bagi setiap 100,000 orang setahun.
Untuk memenjara, mendenda dan mengambil tindakan terhadap orang yang cuba membunuh diri adalah perbuatan menafikan hak mereka menerima rawatan yang bersesuaian.
Golongan ini seharusnya dianggap pesakit, bukan penjenayah. Kita harus melihat percubaan seseorang untuk membunuh diri sendiri adalah satu bentuk isyarat bahawa beliau memerlukan pertolongan dan rawatan yang sewajarnya.
Kebiasaannya, oleh kerana terdapat hukuman penjara yang bakal dihadapi oleh mereka yang tidak berjaya membunuh diri, mereka yang ingin membunuh diri akan mengambil langkah yang lebih teruk bagi memastikan usaha membunuh diri berjaya dilakukan. Ia seolah jatuh ditimpa tangga. Jika gagal bunuh diri, mereka akan dipenjara dan/atau didenda.
Ini menunjukkan kepada kita kewujudan undang-undang berkaitan dengan bunuh diri dalam negara kita tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi mengatasi isu ini. Pihak kerajaan perlu mencari satu mekanisme baharu dalam membantu golongan yang cuba untuk membunuh diri mereka.
Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara, yang masih mengklasifikasikan perbuatan bunuh diri sebagai perlakuan jenayah.
Pelaku memerlukan bantuan pakar daripada pelbagai latar belakang seperti pakar perubatan, psikologi, kaunselor dan bijak pandai agama bagi membantu mereka menghadapi masalah yang menyebabkan mereka ingin membunuh diri, bukannya dengan menghukum.
Mereka yang cuba membunuh diri ini sebenarnya sudah cukup terbeban dengan kehidupan, lantas tidak wajar untuk kerajaan menambahkan bebanan dan tekanan terhadap mereka dengan menghukum.
Alangkah eloknya jika pihak kerajaan dapat mengambil serius isu ini dan meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan mencari satu mekanisme tertentu agar individu yang cuba untuk membunuh diri dapat dibantu dan dirawat sebaiknya.
* Penulis ialah peguam di HaemeHashim & Co
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!