Lima cedera ekoran gempa bumi 6.1 magnitud di Panama
PANAMA CITY - Gempa bumi 6.1 magnitud yang melanda Panama semalam mencederakan sekurang-kurangnya lima orang dan menyebabkan kerosakan pada kediaman dan premis perniagaan.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa pada kedalaman 37 kilometer itu melanda barat negara tersebut berdekatan sempadan Costa Rica.
Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan (Sinaproc) memaklumkan gempa kuat itu disusuli gempa berukuran 5.4 magnitud di wilayah Colon.
Sinaproc turut melaporkan lima orang cedera manakala empat rumah mengalami kerosakan dalam gempa pertama yang berlaku 22 kilometer dari bandar Puerto Armuelles.
Presiden Juan Carlos Varela memaklumkan hanya seorang cedera di Puerto Armuelles, selain terdapat kerosakan pada kediaman dan premis perniagaan di negara Amerika Tengah itu.
Dalam pada itu, sesi persekolahan di daerah Baru turut ditangguhkan untuk hari ini.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan Pusat Amaran Tsunami Pasifik ekoran gempa terbabit. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!