KBBM 2023 lonjak ekonomi domestik, luas pasaran produk tempatan

Rohaizi (kanan) ketika membuat lawatan ke tapak pameran produk pada Majlis Pra-Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 di Sri Pentas Bandar Utama di sini.
Rohaizi (kanan) ketika membuat lawatan ke tapak pameran produk pada Majlis Pra-Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 di Sri Pentas Bandar Utama di sini.
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan lonjakan ekonomi domestik dan peningkatan pasaran produk Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 berbanding jumlah diraih pada tahun lalu.

Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Datuk Rohaizi Bahari berkata, pelaksanaan KKBM 2023 akan mengetengahkan beberapa inisiatif baharu termasuk jalinan kerjasama strategik.

Menurutnya, inisiatif dan kerjasama strategik tersebut akan membantu dalam usaha melonjakkan ekonomi domestik, meluaskan pasaran produk tempatan, di samping membantu penerimaan rakyat terhadap barangan Malaysia.

"Antara inisiatif dirancang termasuklah pemerkasaan produk tempatan dalam industri peruncitan tempatan dan platform dalam talian, Karnival Barangan Malaysia dan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia serta jualan bertema berdasarkan segmen khusus dan juga kolaborasi strategik media animasi digital.

"Kementerian juga menjalinkan kerjasama strategik bersama 16 syarikat peruncitan tempatan terkemuka negara dan juga tiga platform dalam talian bagi memastikan produk tempatan terus diperkasa menerusi syarikat-syarikat terbabit," katanya pada Khamis.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 di Sri Pentas Bandar Utama di sini.

Selain itu, ujarnya, kementerian turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama syarikat Animonsta dan juga syarikat Warnakala bagi mempromosikan KBBM ini menerusi watak animasi Papa Pipi dan Didi & Friends.

Sementara, bagi pelaksanaan jualan bertema berdasarkan segmen khusus, beliau berkata, kerjasama bersama Malaysia Bumiputera Designer Association (MBDA) dan juga Perbadanan Kraftangan Malaysia telah dijalinkan dalam mengangkat produk Malaysia menerusi segmen fesyen dan kraftangan.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi pelaksanaan inisiatif strategik ini diharap dapat menjadi pemangkin dalam merancakkan kembali pembelian barangan buatan Malaysia, di samping mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa khususnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan," katanya.

Katanya lagi, KPDN juga ingin menyeru rakyat untuk menyokong dan memberi barangan Malaysia serta menyarankan pengguna supaya membuat pilihan lebih tepat dengan membeli serta memilih barangan Malaysia yang sememangnya berkualiti dan setanding dengan produk luar.

"KPDN berharap agar rakyat Malaysia Madani dapat turun beramai-ramai ke setiap lokasi Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 termasuk acara kemuncak Karnival Barangan Malaysia 2023 bagi memeriahkan lagi karnival di samping menyokong produk-produk usahawan tempatan dan secara tidak langsung dapat memulihkan kembali ekonomi negara," tambahnya.

Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Sabah akan diadakan di Kota Kinabalu (15 - 17 September), bagi Zon Utara di Alor Setar (21 - 23 September), Zon Selatan di Johor Bahru (5 - 7 Oktober) dan bagi Zon Sarawak diadakan di Miri pada 20 - 22 Oktober.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!