Duit simpanan RM326,100 lesap angkara phone scam
GEORGETOWN - Seorang kerani swasta berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM326,100 lesap diperdaya sindiket phone scam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata, dalam kejadian itu, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pegawai polis pada Julai lalu.
Katanya, suspek mendakwa wanita berusia 51 tahun itu terbabit dalam kes kecurian pendawaian elektrik serta penggubahan wang haram.
"Selepas mangsa menafikan terlibat dengan kes dinyatakan, panggilan itu kononnya disambungkan kepada suspek kedua yang mendakwa dirinya anggota polis.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada suspek ketiga konon boleh bantu mangsa namun dia mengarahkan mangsa memindahkan wang miliknya berjumlah RM326,100 secara berperingkat ke enam akaun tempatan bagi tujuan siasatan.
“Wanita itu mengikut arahan suspek susulan dia mendakwa wang tersebut akan dikembalikan selepas mangsa hadir ke Mahkamah Georgetown pada 30 Ogos,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini pada Rabu.
Saravanan berkata, mangsa hanya sedar dirinya diperdaya selepas suspek sering meminda tarikh untuk ke mahkamah selain meminta mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank luar negara sekiranya ada.
"Wanita itu kemudiannya menceritakan perkara itu kepada keluarga sebelum dia tampil membuat laporan polis semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!