Nelayan didakwa dera isteri hingga mati

Balamurugan dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini pada Rabu.
Balamurugan dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang nelayan yang didakwa mendera isterinya hingga mati dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini, pada Rabu.

Tertuduh T Balamurugan, 35, yang memakai baju lokap ungu mengangguk faham ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh semasa prosiding berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa membunuh K Komalah, 38, di sebuah rumah di Jalan Bagan Sungai Janggut Jeram di sini antara jam 11 pagi hingga 4.30 petang, 2 September lalu.

Balamurugan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun jika sabit kesalahan.

Jika tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri yang mengendalikan kes tidak menawarkan kos jaminan terhadap tertuduh.

"Selain itu, pihak pendakwaan memohon tempoh bagi menyediakan dokumen atau laporan berkaitan kes antaranya melibatkan laporan forensik, kimia dan bedah siasat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Peguam Vinesh Segar yang mewakili Balamurugan memohon proses itu disegerakan dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Siti Hajar kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi penyediaan laporan itu pada 13 Disember depan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mendera isterinya hingga maut pada 2 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan keesokannya selepas menyerah diri kira-kira jam 5 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!