[VIDEO] 'Aspek keselamatan diutamakan, Himpunan Selamatkan Malaysia diteruskan'

A
A
A

KUALA LUMPUR - Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan pada 16 September ini di tengah bandar raya Kuala Lumpur akan diteruskan dan perincian lanjut diputuskan malam ini.

Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkata, tidak ada sebarang permasalahan berhubung penganjuran itu kerana perkara itu telah mendapat pemakluman pihak polis.

Beliau yang juga aktivis politik berkata, aspek keselamatan pastinya akan diberi keutamaan oleh pihak penganjur bagi memastikan ia berlangsung dengan aman.

"Soal keselamatan pada perhimpunan ini nanti pastinya menjadi isu utama kerana kita mahu selamatkan negara.

"Oleh sebab itu, semestinya kita tidak akan membuat huru hara kepada negara pada hari bersejarah ini.

"Kita hanya mahu berhimpun dan meraikan Hari Malaysia," katanya dalam satu sidang akhbar pada Rabu.

Chegu Bard (empat dari kiri) bersama Wan Ahmad Fayhsal, Ahmad Fadhli, Muhammad Hilman dan penyokong PN pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pada Rabu.
Chegu Bard (empat dari kiri) bersama Wan Ahmad Fayhsal, Ahmad Fadhli, Muhammad Hilman dan penyokong PN pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Antara yang dipanggil memberi keterangan berhubung sidang akhbar Himpunan Selamatkan Malaysia pada Ahad ialah Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari; Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Mengulas lanjut, Chegu Bard berkata, satu mesyuarat berhubung penganjuran himpunan aman itu akan diadakan malam ini oleh pihak sekretariat bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat.

Menurutnya, satu perincian akan diputuskan pada malam ini melibatkan lokasi, masa dan beberapa perkara lain termasuk aspek keselamatan pada perhimpunan itu.

"Satu pengumuman akan dibuat oleh pihak sekretariat pada malam ini atau selewat-lewatnya esok kepada rakan media," ujarnya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kesemua yang dipanggil memberi keterangan telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis.

Katanya, kesemua maklumat yang diperlukan berhubung sidang akhbar yang diadakan pada Ahad itu telah diberikan.

Ditanya sama ada polis membenarkan Himpunan Selamatkan Malaysia, beliau berkata, himpunan aman itu tidak mendapatkan permit, sebaliknya sekadar pemakluman.

Oleh yang demikian menurutnya, himpunan itu akan diteruskan kerana ia satu sesi berkumpul secara beramai-ramai meraikan Hari Malaysia.

"Kita bukan mahu menimbulkan kekacauan, sebaliknya berkumpul meraikan Hari Malaysa bersama-sama di tengah ibu kota.

"Mereka yang hadir akan memakai baju berwarna putih dan membawa Jalur Gemilang.

"Selain bersama-sama pada hari bersejarah ini, kita juga akan makan-makan beramai-ramai meraikan Hari Malaysia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!