Baju kalis api jadi sejadah
KLANG - Gambar empat anggota bomba menunaikan solat di atas jalan beralaskan baju kalis api dan pakaian seragam yang tular di media sosial sejak pagi tadi mengundang pelbagai reaksi netizen.
Difahamkan, gambar tersebut dirakam berlatar belakangkan lokasi kebakaran lalang di Bandar Baru Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang petang semalam.
Sepasukan anggota bomba ke lokasi bagi membantu memadamkan kebakaran di kawasan lalang seluas 2.4 hektar itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 6.30 petang.
Katanya, anggota bomba sampai di lokasi kira-kira 10 minit selepas itu dan memulakan kerja pemadaman api.
“Operasi pemadaman api itu mengambil masa hampir tiga jam dan berakhir pada jam 9.17 malam.
“Gambar yang tular itu menunjukkan mereka berhenti untuk berbuka puasa, solat Maghrib sebelum kembali meneruskan kerja-kerja pemadaman api,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, gambar dikongsi dalam laman Facebook Friends of Bomba Malaysia itu menerima ribuan emoji selain ratusan komen.
Turut dimuat naik bersama gambar itu kapsyen bertulis Ramadan bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga.
“Ramadan tempatnya kita mengendalikan diri kerana puasa hanya kita dan dia yang tahu saatnya untuk jujur pada diri sendiri. Marhaban ya Ramadhan,” tulis kapsyen tersebut.
Status bergambar tersebut turut menerima ratusan perkongsian netizen.
Sementara itu, pelayar Facebook, Nor Alisya berdoa supaya anggota bomba dilimpahkan rezeki.
"Semoga ALLAH limpahkan rezeki dan diberkati buat anggota wira merah....syukur walaupun di mana berada tak pernah di lupa kewajipan yang ALLAH bagi pada hamba-hambanya. Amin,” tulisnya di bahagian komen.
Azrin Yen pula menceritakan pengalamannya sendiri yang pernah meninggalkan juadah berbuka puasa selepas menerima panggilan kecemasan.
“Kekadang masa nak berbuka...dah duduk depan juadah tiba-tiba dapat panggilan kecemasan, terpaksa lari tinggalkan juadah demi anda semua,” tulisnya.
Turut berkongsi pengalaman, Mohd Abe Joe yang sanggup meninggalkan makanan berbuka demi menyelamatkan nyawa dan harta benda orang lain.
“Pernah baru nak buka puasa makan karipap, air pun tak sempat minum, bunyi siren api kilang terus melompat dalam jentera. Balik dari operasi, masuk tangan dalam poket ada karipap tadi tak sempat makan,” tulisnya.
Nia Azura pula berkata, dia berasa sedih setiap kali melihat anggota bomba.
“Setiap kali tengok bomba-bomba mesti rasa sedih....dan rasa marah kalau ada yang pertikaikan kerja bomba...Semoga ALLAH melindungi ahli bomba penyelamat kita semasa menjalankan tugas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!