Dua kakitangan awam direman salah guna kuasa
KUALA TERENGGANU - Seorang penolong jurutera bersama rakannya, penolong juruukur bahan di agensi kerajaan direman bermula hari ini kerana disyaki salah guna kuasa sejak 2015 hingga tahun lalu.
Majistret Abdul Hayyi Salim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 40 tahun rakannya yang berusia 38 tahun ditahan reman tujuh hari sehingga Ahad depan.
Ia bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dijalankan.
Menurut sumber, suspek ditahan di kediamannya di kuarters jabatannya di Kuala Terengganu kira-kira jam 11.10 pagi manakala rakannya ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, kira-kira jam 2.30 petang, semalam.
Suspek disyaki menggunakan jawatan bagi mendapatkan kerja-kerja di jabatannya untuk syarikat isterinya dengan menggunakan nama syarikat pihak ketiga dalam tempoh empat tahun bermula 2015 hingga tahun lepas.
Manakala rakannya pula disyaki bersubahat atas kesalahan yang dilakukan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!