Golongan suami pun jadi mangsa keganasan rumah tangga

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika berucap merasmikan Seminar Polis Selangor Memerangi Keganasan Rumah Tangga di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID/ SINAR HARIAN

A
A
A

SHAH ALAM - Golongan suami turut tidak terkecuali menjadi mangsa keganasan rumah tangga apabila sebanyak 121 kes dicatatkan sejak awal Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan rekod pihaknya mangsa keganasan rumah tangga ini tidak hanya melibatkan isteri atau anak malah suami turut ada yang menjadi mangsa penderaan.

Menurut beliau, kes yang dilaporkan termasuk kecederaan selepas pertengkaran selain penderaan mental serta emosi.

"Selangor mencatatkan sebanyak 863 kes sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2023 melibatkan golongan wanita dengan 352 kes dan adik-beradik sebanyak 177 kes diikuti mangsa terdiri daripada golongan lelaki iaitu suami(121 kes).

"Keseluruhan kes ini melibatkan kecederaan sebanyak 593 kes, ugutan (153 kes) dan kesalahan khianat (49 kes)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Polis Selangor Memerangi Keganasan Rumah Tangga di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Katanya, daerah yang mencatatkan kes keganasan rumah tangga paling tinggi di negeri ini adalah Gombak iaitu sebanyak 147 kes.

Artikel Berkaitan:

Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (dua, kiri) dan Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Ekonomi Penjagaan, Anfaal Saari (kiri) turut hadir di Seminar Polis Selangor Memerangi Keganasan Rumah Tangga di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID/ SINAR HARIAN

"Selain itu, daerah lain seperti Kajang mencatatkan sebanyak 91 kes diikuti Petaling Jaya(79 kes), Sungai Buloh (26 kes), Sabak Bernam (25 kes) dan Shah Alam (21 kes).

"Keseluruhan statistik ini berdasarkan laporan polis yang diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023," katanya.

Menurutnya, kesedaran berkaitan keganasan rumah tangga antara faktor mendorong berlakunya peningkatan laporan polis yang dibuat mangsa.

"Dari segi populasi penduduk, Selangor mencatatkan jumlah penduduk yang tinggi selain masyarakat mempunyai kesedaran berkaitan kepentingan tindakan awal yang perlu diambil.

"Ia menyebabkan masyarakat lebih peka dan segera membuat laporan polis berkaitan keganasan rumah tangga ini," katanya.

Ujar Hussein, semua pihak harus bersama polis dalam usaha menangani isu melibatkan keganasan rumah tangga ini.

"Kelewatan dalam membuat laporan polis adalah antara cabaran yang dihadapi, dalam soal ini, masyarakat perlu lebih peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling.

"Terus tampil membuat laporan dan jangan berdiam diri sekiranya mempunyai maklumat atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga," katanya.

Turut hadir Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Ekonomi Penjagaan, Anfaal Saari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!