Polis belum terima notis penganjuran 'Himpunan Selamatkan Malaysia'

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid - Foto Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur masih belum menerima sebarang notis pemakluman berhubung penganjuran 'Himpunan Selamatkan Malaysia' yang akan diadakan Sabtu ini, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya akan mengambil segala tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya masih terdapat sebarang aktiviti yang mengganggu-gugat ketenteraman awam.

"Sebarang pemakluman harus disertakan dengan lampiran kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemilik lokasi di mana perhimpunan bakal diadakan.

"Setakat ini kita tidak menerima apa-apa juga notis pemberitahuan daripada pihak penganjur untuk mengadakan 'Himpunan Selamatkan Malaysia'," katanya ketika ditemui di Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini, pada Rabu.

Allaudeen berkata, sekiranya penganjur masih berdegil untuk berhimpun, polis akan mengambil tindakan sewajarnya seperti yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Secara kebiasaan notis pemakluman harus diserahkan sebelum empat hari sebelum tarikh berhimpun.

"Selepas hanya berbaki tiga hari menjelang Sabtu, kita menganggap tidak menerima sebarang pemakluman daripada mana-mana penganjuran perhimpunan," katanya.

Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, notis pemakluman kepada pihaknya untuk sebarang penganjuran perhimpunan adalah untuk memudahkan polis melakukan penyelarasan dan melancarkan aliran trafik.

Artikel Berkaitan:

"Penganjur sebenarnya harus mempunyai tanggungjawab untuk membuat pemakluman. Kita ada undang-undang dan peraturan, bagi pihak polis tanggungjawab kami adalah untuk menyelaras.

"Bagi penganjur pula tanggungjawab mereka adalah memberitahu pihak polis supaya kita dapat menyelaras dan mengaturkan keanggotaan yang sewajarnya demi keselamatan," katanya.

Allaudeen berkata, pihak polis tetap akan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan.

"Bagaimanapun setakat ini, kita tidak mempunyai perancangan untuk melakukan penutupan jalan disebabkan perhimpunan yang bakal berlangsung, pihak polis sentiasa bersiap-siaga terhadap sebarang kemungkinan," katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan satu lagi perhimpunan oleh kumpulan 'Baju Merah' diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal MD Yunos, Allaudeen meminta masyarakat memberi ruang dan menyerahkannya kepada polis untuk mengawasi kumpulan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!