Mayat lelaki ditemukan berlumuran darah
ALOR SETAR - Orang awam dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki berlumuran darah di ruang pendingin hawa di bangunan kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Kolam Air, dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi.
Menurutnya, seorang saksi berusia 25 tahun menemui mangsa yang disyaki sudah meninggal dunia.
"Saksi telah menghubungi polis melalui talian MERS 999 dan memaklumkan, dia ternampak seseorang terbaring di ruangan pendingin hawa di bangunan berkenaan ketika sedang menunggu kenderaan e-hailing di situ.
"Saksi menghampiri dan mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas Ahmad Shukri, mayat si mati kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
"Setakat ini polis masih mengenal pasti punca kejadian menyebabkan kematian lelaki tersebut," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!