Agong berkenan dengar sembah taklimat projek LPB Sarawak

Kilometer 0 atau disebut Kilometer Kosong Lebuhraya Pan Borneo di Telok Melano menjadi persinggahan terakhir Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan Kembara Kenali Borneo yang berlangsung selama 11 hari. - Foto Bernama
Kilometer 0 atau disebut Kilometer Kosong Lebuhraya Pan Borneo di Telok Melano menjadi persinggahan terakhir Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan Kembara Kenali Borneo yang berlangsung selama 11 hari. - Foto Bernama
A
A
A

SEMATAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan mendengar sembah taklimat berhubung latar belakang dan status pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak yang kini mencapai tahap 97 peratus siap.

Sembah taklimat disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi itu diadakan semasa Seri Paduka berkenan melawat pameran Projek LPB Sarawak di Telok Melano di sini, iaitu lokasi persinggahan terakhir sempena Kembara Kenali Borneo, yang melabuhkan tirainya pada Rabu.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan keberangkatan Al-Sultan Abdullah buat julung kali itu, menzahirkan keprihatinan Seri Paduka dalam usaha kerajaan menambah baik infrastruktur jaringan jalan raya di Sarawak yang merupakan pemangkin pembangunan sosioekonomi dan perindustrian.

"Selain itu, bagi menambah baik keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya khususnya,” menurut kenyataan itu yang turut menjunjung kasih atas kesudian Seri Paduka, berkenan mengunjungi tapak pameran projek itu.

Kembara Kenali Borneo yang diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, menamatkan penjelajahan selama 11 hari sejak 3 September lepas.

Al-Sultan Abdullah yang berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ditemani Tunku Azizah telah merentasi perjalanan berjarak sejauh 2,154 kilometer (km) dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Berangkat sama dalam kembara itu di Sarawak ialah paduka anakanda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Sementara, paduka anakanda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana, berkenan berangkat sepanjang penjelajahan kembara di Sabah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!