Agong sempurnakan majlis pecah tanah Masjid Al-Sultan Abdullah
SEMATAN - Bersempena dengan jelajah Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari terakhir hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah projek Masjid Al-Sultan Abdullah di Telok Melano di sini.
Masjid yang membabitkan kos pembinaan berjumlah RM5 juta itu didirikan untuk menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah kerana kawasan berkenaan merupakan antara destinasi pelancongan di Sematan yang terletak di penghujung selatan Sarawak.
Masjid yang mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa itu terletak kira-kira 100 meter dari mercu tanda Kilometer Kosong Lebuhraya Pan Borneo, dijangka menjadi antara tarikan pelancong yang berkunjung ke pantai Telok Melano.
Berkeluasan kira-kira 0.5 hektar, masjid itu bakal dilengkapi kemudahan antaranya bilik imam, tandas lelaki dan wanita, pusat sumber, pantri, bilik pengurusan jenazah serta tempat letak kenderaan.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berangkat tiba pada 12.45 tengah hari tadi ke Kilometer Kosong Lebuhraya Pan Borneo, Pantai Telok Melano yang merupakan persinggahan terakhir Kembara Kenali Borneo, kira-kira 140 kilometer dari bandar raya Kuching.
Berangkat sama bagi Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah paduka anakanda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.
Turut hadir, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar dan isteri, Puan Sri Fatimah Mohd Iskandar serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Sri Ruziah Mohd Tahir.
Selain itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri turut ke majlis itu.
Terdahulu, ratusan rakyat melibatkan penduduk, pelajar sekolah serta para peniaga khususnya yang mendiami kawasan Pantai Telok Melano menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka.
Keberangkatan tiba Seri Paduka ke Telok Melano sekali gus melengkapkan keseluruhan perjalanan sejauh 2,154 km bersempena dengan jelajah Kembara Kenali Borneo yang bermula dari Tawau, Sabah.
Usai berangkat ke Telok Melano, Seri Paduka berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan berlepas meninggalkan Bumi Kenyalang menuju ke Pangkalan Udara Subang.
Kembara yang bermula pada 3 September hingga hari ini untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah, pada 7 September lepas sebelum memasuki Sarawak melalui Brunei. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!