Lelaki suspek kes rompakan, pecah rumah diberkas
BERA - Polis berjaya menyelesaikan lima kes rompakan dan dua kes pecah rumah di daerah itu susulan penangkapan seorang lelaki pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir memberitahu, suspek yang berusia 18 tahun itu ditahan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera pada jam 4.05 petang.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek dipercayai terlibat dengan lima kes rompak dan dua kes pecah rumah di daerah tersebut.
"Pihak polis juga turut berjaya membuat rampasan beberapa barang yang dipercayai hasil rompak dan pecah rumah yang telah dilakukan.
"Ujian saringan air kencing penama turut mendapati positif dadah jenis 'amphetamine'," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, hasil semakan mendapati suspek turut mempunyai pelbagai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
Tambah Zulkiflee, suspek telah ditahan reman selama lima hari untuk siasatan bawah Seksyen 395/397 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!