Smart SBBA LZNK tangani masalah monopoli, kartel padi - Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengendali mesin padi pada Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK, Batu 17, Padang Lumat, di sini pada Rabu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengendali mesin padi pada Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK, Batu 17, Padang Lumat, di sini pada Rabu.
A
A
A

YAN - Skim Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) boleh menjadi salah satu jalan keluar dari masalah monopoli dan kartel padi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sistem padi kunca dikhuatiri menyebabkan petani terpaksa membayar bunga kepada tauke yang memberi hutang hingga 700 peratus.

Menurut beliau, pihaknya mendapati hutang ini kemudiannya ditanggung sebagai warisan oleh anak cucu tanpa penyelesaian.

"Bunga atau faedah yang terlalu tinggi menyebabkan ramai orang kita jatuh miskin gara gara berhutang.

"Orang lain perturunkan pusaka tanah, orang kita pusaka hutang. Tanah bertukar tangan apabila dijadikan cagaran hutang," katanya.

Sanusi berkata sedemikian ketika berucap merasmikan Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK, Batu 17, Padang Lumat, di sini pada Rabu.

Beliau turut mendapati harga beras naik mendadak, namun pesawah yang membanting tulang empat kerat mengusahakan tanah bendang dihimpit kemiskinan dan tauke kartel pula menjadi kaya raya.

Beliau berkata, ada golongan tertentu menguasai rantaian industri, malah mereka menguasai pengeluaran benih, baja, racun, tanah bendang hingga ke harga beras dalam pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Inilah masalah utama yang terus memerangkap orang kita hingga terus hidup miskin walaupun kitalah yang tanam padi dan menghasilkan beras di peringkat yang paling asas," katanya.

Sanusi berkata, beliau pernah menyebut bahawa manipulasi ini bukan baharu tetapi sudah berdekad-dekad di hadapan Menteri Pertanian sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kira-kira tiga tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, Smart SBBA adalah satu langkah bijak perlu dikembangkan lagi ke kawasan-kawasan lain untuk menghentikan dominasi dan manipulasi kartel padi.

Menurut beliau, inisiatif LZNK dilihat mampu memberi satu nafas baru kepada pesawah pesawah kita, sekali gus ia diharap dapat dilaksanakan di seluruh negeri.

"Sekurang kurangnya sudah ada jalan untuk kita keluarkan semua petani yang terkongkong pada hari ini dari belenggu kemiskinan yang berterusan.

"Kos-kos jentera kita turunkan. Harga benih, baja dan racun kita kawal semampu yang mungkin. Kita bagi latihan dan jadual yang betul. Kita atur sendiri bila mesin nak kutip padi. Kita sendiri yang susun kilang mana padi ini nak dihantar," katanya.

Sanusi turut melahirkan keyakinan usaha ini akan dimajukan dari satu peringkat ke satu peringkat termasuk dengan mengeluarkan sendiri benih padi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!