SIC perkenal tiket Rahmah RM49.90 saksikan GP Malaysia 2023

Azhan Shafriman Hanif - Foto Bernama
Azhan Shafriman Hanif - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengumumkan jualan Tiket Rahmah mulai hari ini bagi 'membarakan' Grand Prix (GP) Malaysia 2023 pada November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, Tiket Rahmah yang diperkenalkan buat pertama kali itu berharga RM49.90 bagi tempat duduk K2 Hillstand.

“Kami telah mendengar rungutan mengenai harga tiket yang mahal, sebab itu kami membuat inisiatif tiket Rahmah (K2 Hillstand) ini bersama KBS.

“K2 Hillstand boleh memuatkan kira-kira 7,000 penonton. Sebagai tambahan, tempat parkir kereta juga percuma," katanya dalam sidang akhbar GP Malaysia 2023 di Publika, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

Dalam pada itu, SIC berhasrat menarik kira-kira 170,000 penonton bagi menyaksikan GP Malaysia 2023 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 November depan.

Shafriman berkata, pihaknya kini berada di landasan yang betul menjelang GP Malaysia 2023 yang menampilkan kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3.

“Selepas dua tahun tidak menganjurkan perlumbaan (2020 dan 2021) kami kembali tahun lalu dan mampu menarik 164,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan itu.

Artikel Berkaitan:

“Tahun ini kami menyasarkan hampir dengan apa yang kami capai pada 2019 iaitu kira-kira 170,000 penonton. Ini kerana kira-kira 70 peratus tiket telah dijual atau ditempah.

“Tiket masih dijual dengan pantas dan kami telah menjual beberapa tribune,” jelasnya yang turut mengesahkan GP Malaysia 2023 tidak akan membabitkan pelumba tempatan atas tiket wildcard.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!