Gempa bumi: Raja Maghribi lawat mangsa cedera, berkenan derma darah
KUALA LUMPUR - Raja Maghribi Mohammed VI melawat mangsa gempa bumi yang cedera di Hospital Universiti "Mohammed VI" di Marrakesh pada Selasa selain berkenan mendermakan darah baginda buat pesakit berikutan gempa bumi Al-Haouz berukuran 7 magnitud yang melanda negara itu Jumaat lalu (8 September).
Menurut teks yang dikongsi oleh kedutaan Maghribi melalui aplikasi WhatsApp di Kuala Lumpur, baginda bertanyakan tentang keadaan mangsa yang cedera dalam lawatan itu.
"Inisiatif diraja ini memberikan sokongan moral yang besar kepada mangsa tercedera dan keluarga mereka, yang memperkuat pelbagai inisiatif dan langkah-langkah yang diambil, selaras dengan Arahan Diraja Tinggi untuk menyelamatkan, membantu, dan menyokong mereka yang terjejas akibat gempa bumi."
Kira-kira 2,171 mangsa telah dimasukkan ke hospital di wilayah Marrakesh-Safi, termasuk 484 cedera parah manakala 1,570 lagi cedera ringan. Sebanyak 248 daripada mereka masih dirawat di hospital.
Semasa lawatan itu, Raja Mohammed VI turut berkenan menderma darahnya, satu isyarat yang menyatakan solidariti penuh dan belas kasihan baginda kepada rakyat semasa ditimpa kesusahan dan musibah.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Dalam Negeri Maghribi berkata, angka kematian akibat gempa bumi yang menggegarkan negara Afrika Utara itu pada lewat Jumaat telah meningkat kepada 2,854 orang.
Ia adalah gempa bumi paling kuat melanda Maghribi pada abad lalu, menurut Institut Geofizik Kebangsaannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!