Tempoh penahanan bekas PM Pakistan Imran Khan dilanjutkan
ISLAMABAD - Mahkamah Pakistan pada Rabu melanjutkan tempoh penahanan terhadap bekas Perdana Menteri, Imran Khan selama dua minggu lagi atas tuduhan membocorkan kandungan sulit kabel diplomatik, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Reman terhadap Imran Khan telah dilanjutkan hingga 26 September," kata peguam bekas pemimpin itu, Naeem Haider Panjutha, selepas perbicaraan di Penjara Attock.
Parti keadilan Khan (PTI) telah mencabar perbicaraan itu.
Penahanan bekas pemimpin itu dilanjutkan di saat parti-parti politik lain sedang meningkatkan momentum menjelang pilihan raya umum.
Pada Selasa, bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif mengumumkan penamatan tempoh pengasingan dirinya selepas hampir empat tahun dan akan kembali pada 21 Oktober.
Kepulangan Perdana Menteri itu dijangka memberi momentum kepada kempen pilihan raya Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dan membantu menarik lebih banyak perhatian orang ramai, liputan media, dan sokongan pengundi.
Sebaliknya, parti Khan dalam keadaan tidak menentu dan puluhan pemimpinnya telah beralih arah manakala ramai lagi kelihatan enggan kekal di dalam parti.
Bekas bintang sukan berusia 70 tahun itu berdepan beberapa tuduhan sejak penyingkirannya sebagai perdana menteri pada tahun lepas. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!