Orang ramai boleh uji kereta api laju Jakarta-Bandung pada Oktober

Jokowi ketika menghadiri aktiviti uji perjalanan di Stesen KCJB Padalarang, Daerah Bandung Barat, Jawa Barat, pada Rabu. - Foto AFP
Jokowi ketika menghadiri aktiviti uji perjalanan di Stesen KCJB Padalarang, Daerah Bandung Barat, Jawa Barat, pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

BANDUNG - Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyatakan orang ramai boleh mengambil bahagian dalam ujian perjalanan kereta api cepat Jakarta-Bandung (KCJB) yang bermula pada Oktober tahun ini.

"Mari kita berharap agar orang ramai dapat menggunakan kereta api berkelajuan tinggi bermula dari awal Oktober 2023,” katanya semasa aktiviti uji perjalanan di Stesen KCJB Padalarang, Daerah Bandung Barat, Jawa Barat, pada Rabu.

Ketua negara itu menegaskan bahawa kerajaan akan meneruskan rancangan untuk memberi peluang kepada orang ramai menaiki kereta api, yang boleh melakukan perjalanan dari Jakarta dan Bandung dalam masa kira-kira 50 minit sahaja, secara percuma sepanjang tempoh ujian.

Jokowi pada masa sama berharap operasi kereta api berkelajuan tinggi itu dapat membantu kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai rakyat beralih menggunakan pengangkutan awam.

"Perlu diingat bahawa kesesakan lalu lintas di Jabodetabek dan Bandung telah mengakibatkan kerugian lebih daripada Rp100 trilion (AS$6.5 bilion)," katanya. - Bernama-Antara

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!