Isteri Raja Dadah 'El Chapo', Emma Coronel dibebas dari penjara
ISTERI kepada Raja Dadah Mexico, Joaquin 'El Chapo' Guzman, dibebaskan dari penjara di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.
Sebelum ini Emma Coronel Aispuro mengaku bersalah atas tuduhan berhubung kes penyeludupan dadah dan dipenjara selama tiga tahun pada November 2021.
Hukuman penjara itu kemudian telah dikurangkan.
Suaminya sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di sebuah penjara di Colorado.
Bulan lalu, Guzman telah mengemukakan permintaan agar isterinya serta dua anak perempuan mereka dibenarkan melawatnya di penjara.
Guzman, 66, didapati bersalah pada tahun 2019 atas 10 tuduhan berhubung kes penyeludupan dadah.
Selain dadah, Guzman juga didapati bersalah memiliki senjata api tanpa lesen dan pengubahan wang haram.
Dia ditahan pada Januari 2016 selepas memboloskan diri dari penjara di Mexico melalui terowong lima bulan sebelum itu dan diekstradisi untuk menghadapi perbicaraan di AS pada 2017.
Kartel Sinaloa yang diketuai Guzman dianggar telah menyeludup lebih daripada 1,000 tan kokain, marijuana, methamphetamine dan heroin ke AS.- Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!