Rossa teruja konsert di Sabah, ingin nikmati 'seafood' sepuasnya
PENYANYI terkenal dari seberang, Datuk Seri Rossa bakal 'membuaikan' perasaan peminatnya di Sabah menerusi Konsert Rossa Another Journey The Beginning yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 8 Disember depan.
Lagu-lagu pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani amat dikenali bukan sahaja di Indonesia bahkan di negara ini malahan Rossa yang terkenal dengan lagu-lagu cinta dilihat kekal releven sepanjang zaman sehingga kini.
Bergelar penghibur selama lebih 25 tahun, pastinya kemunculan penyanyi asal Sumedang, Jawa Barat itu sentiasa dinantikan peminat khusus di Sabah yang sudah lama mahu menonton persembahannya secara dekat.
Dalam satu sidang akhbar yang berlangsung dalam talian bersama pengamal media di Sabah baru-baru ini, Rossa berkongsi rasa teruja berikutan konsertnya itu adalah yang pertama kali diadakan di Sabah.
Menurutnya, konsert itu adalah lanjutan daripada konsert yang diadakan di Kuala Lumpur dan Singapura pada bulan lalu.
"Insya-ALLAH, untuk pertama kalinya konsert ini diadakan di Sabah dan walaupun sudah lama berkarya di Malaysia dan sering berulang alik ke Kuala Lumpur tetapi ini kali pertama datang ke Kota Kinabalu.
"Saya sungguh teruja bukan sahaja kerana konsertnya tetapi juga saya adalah 'food lover' jadi saya mahu makan banyak-banyak makanan laut dan berjalan-jalan di Kota Kinabalu yang terkenal dengan keindahannya," katanya
Rossa berharap kedatangannya bersama rakan band serta artis jemputan, Cakra Khan menjadikan ia sebuah konsert yang memberi kenangan manis bukan saja peminat dari Sabah tetapi juga Brunei Darussalam dan Indonesia sendiri.
"Saya belum pernah lagi melakukan konsert di Sabah dan itu menjadi cita-cita serta angan-angan untuk bertemu dengan pencinta Rossa yang mana selalunya mereka hanya melihat dari televisyen atau media sosial.
"Menerusi tour konsert Another Journey ini saya ingin bertemu dengan banyak generasi termasuk generasi Z kerana lagu-lagu saya dinikmati juga oleh anak-anak berusia 17 hingga 25 tahun.
"Ini peluang mereka untuk berjumpa secara langsung, menyanyi secara langsung lagu-lagu yang mengiringi dari kecil, dari ibu sehingga ke anak-anak dan mereka membesar dengan lagu-lagu saya," katanya.
Menurut Rossa, peminat juga berpeluang untuk bertemu dengannya sendiri menerusi sesi beramah mesra bersama peminat dalam konsert itu selain mendapatkan album terbaharu beliau dalam bentuk cakera padat.
"Dalam konsert ini ada sesi 'meet and greet', ada tiket yang kategorinya itu khusus untuk sesi ini, peminat boleh bertemu dan mengambil foto bersama, berbual sebentar dengan saya secara lebih dekat.
"Saya juga akan membawa merchandise dan cakera padat bersama tandatangan menerusi perjumpaan dengan peminat di sana, poster juga ada.
"Jangan khuatir kerana kita kini ada platform digital streaming, jadi lagu-lagu dari album terbaharu dan lama boleh dinikmati di Spotify, Apple Music, Youtube Music dan TikTok," ujarnya.
Sebelum mengakhiri sidang akhbar, Rossa turut berkongsi terdapat sebanyak 25 lagu bakal dipersembahkan supaya peminat lebih teruja untuk bersamanya pada konsert itu nanti.
"Selain lagu-lagu baru, pastinya saya akan menyanyikan lagu-lagu lama mungkin Pudar, Hey Ladies, Terlanjur Cinta, Malam Pertama, Ayat-Ayat Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!