Gunakan media sosial sebagai medium perpaduan rakyat Malaysia
KOTA KINABALU - Penggunaan media sosial secara positif dan berkesan terutama oleh generasi masa kini penting bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat, kata Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Jakaria Dasan.
Beliau berkata, media sosial sekiranya disalahgunakan boleh menjadi punca perselisihan faham, justeru penting bagi semua rakyat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai warganegara cintakan Malaysia dengan menggunakan media sosial sebagai medium perpaduan.
"Kita kena lihat dalam konteks positif berkaitan dengan media sosial.
Dahulu teknologi itu tidak ada, hari ini kita ada telefon pintar, dahulu kita ada telefon awam tetapi kadang-kadang telefon awam pun kita tidak dapat akses untuk lakukan hubungan dan dahulu juga maklumat disampaikan agak lewat.
"Hari ini, sekelip mata maklumat kita peroleh sudah tentu cabarannya itu sangat tinggi, setiap zaman mempunyai cabaran tersendiri dalam memupuk perpaduan," katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Jakaria berkata, walaupun platform itu boleh menjadi negatif sekiranya disalah guna, rakyat tidak sepatutnya menjauhkan diri daripada media sosial yang mengalami ledakan perkembangan pada masa ini, sebaliknya wajar menguasai teknologi itu bagi membolehkan ia digunakan sebaiknya sebagai medium perpaduan.
Beliau berkata, terdapat empat media sosial yang menjadi perhatian dan ikutan penduduk di negara ini pada masa ini iaitu Facebook, Instagram, YouTube dan terkini TikTok.
Katanya, Facebook yang dahulunya dikuasai anak muda, kini berkembang sebagai media sosial disertai ahli keluarga pelbagai peringkat umur, manakala TikTok merupakan platform yang amat digemari generasi muda pada masa ini.
"Bila kita kaitkan dengan media sosial dan teknologi, cara kita mengatasi yang negatif itu pelbagai pihak terutama kerajaan perlu tingkatkan lagi penggunaan media sosial ini dengan lebih efektif seperti anak muda ingin menonton sejarah, peristiwa lepas jadi kita sediakan bahan itu," katanya.
Jakaria berkata usaha meningkatkan tahap perpaduan pada masa lepas dan masa kini tidak boleh dibandingkan kerana mempunyai pelbagai perbezaan terutama melibatkan teknologi dan media sosial, justeru usaha itu perlu dikemas kini seiring dengan perkembangan masa.
Beliau berkata peristiwa bersejarah baharu yang berlaku di Sabah dan dikongsikan secara "hangat" menerusi media sosial ialah keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam Kembara Kenali Borneo.
Katanya, keberangkatan Seri Paduka berdua bukan sahaja mengukuhkan perpaduan rakyat Sabah dengan rakyat seluruh negara, malah turut menunjukkan bahawa rakyat Sabah adalah kumpulan masyarakat yang boleh dijadikan contoh apabila berinteraksi dengan Seri Paduka berdua dengan semangat kekeluargaan tinggi.
"Kita lihat tular di TikTok bagaimana mesranya layanan Seri Paduka berdua kepada kita.
Mereka (pengguna media sosial) semua tersenyum bangga, seronok malah menitiskan air mata, ini menunjukkan kalau kita ingin positif, maka media sosial akan menjadi positif.
"Bahan media sosial itu juga menunjukkan kepada Malaysia serta dunia keperluan pembangunan di Sabah yang perlu dilipatgandakan demi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat, Seri Paduka berdua juga amat prihatin dalam perkara ini," katanya.
Ditanya tentang usaha Kerajaan Perpaduan membawa konsep Malaysia Madani demi kesejahteraan rakyat, Jakaria berkata, konsep itu perlu dilihat dari segi maksud dan hasrat kerajaan, bukan sekadar erti luaran semata-mata.
"Niat di sebalik perkataan Madani itu, jiwa itu yang sebenarnya perlu kita fahami agar apa jua hasrat kerajaan khususnya yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan ini berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif iaitu memakmurkan rakyat dan Malaysia," katanya.
Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan ikhtiar secara bersepadu dan holistik menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
Konsep itu berdiri atas enam tonggak utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!