123 peserta Petronas BeDigital Bootcamp terima tawaran kerja

Seramai 96 peserta dari pelbagai universiti menyertai program Petronas BeDigital Bootcamp di UMT.
Seramai 96 peserta dari pelbagai universiti menyertai program Petronas BeDigital Bootcamp di UMT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 123 pelajar dari pelbagai universiti menerima tawaran pekerjaan melalui Program Petronas BeDigital Bootcamp yang diperkenal pada tahun lalu.

Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong berkata, program berkenaan sebagai usaha memenuhi kebolehpasaran graduan tempatan dan permintaan pasaran kerja pada masa hadapan.

Menurutnya, program tersebut adalah salah satu usaha berterusan Petronas untuk memastikan graduan tempatan dapat memenuhi tuntutan era digital yang kompetitif.

"Sejak diperkenalkan pada 2022, seramai 268 pelajar dari institusi pengajian tinggi telah mengambil bahagian dalam BeDigital Bootcamp.

Daripada jumlah itu, 123 pelajar menerima tawaran pekerjaan bersyarat daripada Petronas Digital Sdn Bhd dan rakan-rakan kongsinya.

"Peserta kami terdedah kepada kemahiran digital dan keusahawanan yang sesuai untuk memastikan mereka kekal bersaing dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.

"Kami berharap program ini menjadi platform di mana setiap bakat tanpa mengira lokaliti berpeluang untuk berjaya dalam dunia pekerjaan sebenar," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Petronas BeDigital Bootcamp 2023 di sebuah hotel di sini pada malam Rabu.

Pada majlis itu, seramai 41 peserta menerima tawaran pekerjaan pada Program Petronas BeDigital Bootcamp 2023 di sini yang julung kali dilaksanakan di Pantai Timur.

Program yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berlangsung selama 12 hari bermula 2 September lepas melibatkan 96 graduan dari pelbagai universiti.

Artikel Berkaitan:

Universiti terlibat ialah UMT, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Peserta program, Ahmad Akif Muhammad Izuan yang berjaya menerima tawaran kerja daripada Petronas
Peserta program, Ahmad Akif Muhammad Izuan yang berjaya menerima tawaran kerja daripada Petronas

Sementara itu, peserta program, Ahmad Akif Muhammad Izuan, 23 melahirkan rasa syukur dan terharu apabila menerima tawaran kerja sebagai Eksekutif Aset, Perancangan dan Logistik di Petronas Digital Sdn Bhd dengan gaji permulaan yang lumayan.

"Menerusi program ini saya didedahkan dengan modul berorientasikan kemahiran digital seperti teknik penterjemahan dan pengolahan data selain kemahiran pembentangan yang berkesan.

"Saya merupakan graduan jurusan Kejuruteraan Kimia dari UMP dan sudah tentu program diadakan ini dapat membantu melengkapkan diri kami dengan kemahiran yang relevan bagi memenuhi permintaan pasaran kerja pada masa kini.

"Program ini perlu diteruskan lagi bagi memudahkan graduan lepasan universiti yang ingin mencari pekerjaan pada masa hadapan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!