10 NGO seru pinda perlembagaan sistem perundangan Islam
SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyeru semua wakil rakyat meminda perlembagaan dengan segera sebelum peruntukan jenayah syariah lain dicabar dan dibatalkan kelak.
Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan bersama 10 NGO iaitu Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ikatan Muslim Malaysia (Isma) dan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Allied Coordinating Council of Islamic NGOs (ACCIN) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Menurut kenyataan tersebut, pihaknya mendukung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berhubung situasi semasa tekanan ke atas sistem perundangan syariah di dalam negara.
"DYMM Tuanku telah membangkitkan kekhuatiran terhadap kes-kes mahkamah yang mencabar kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam di bawah enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.
"Baginda menzahirkan kebimbangan berkenaan trend kes di mahkamah yang menggambarkan kedudukan enakmen-enakmen negeri melibatkan peruntukan kesalahan-jenayah syariah semakin tercabar," katanya pada Khamis.
Tambahnya lagi, bagi DYMM, penyelesaian hanya boleh dibuat melalui tindakan lejislatif dengan membuat pindaan tertentu kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan.
"Ia bagi membolehkan kuasa yang lebih luas kepada DUN dalam menggubal peruntukan berkenaan dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.
"Selain itu, susulan titah DYMM Tuanku, kami juga menggesa kerajaan untuk segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan kemelut tekanan ke atas bidang kuasa DUN dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam," jelasnya.
NGO tersebut juga turut menyatakan keyakinan mereka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan titah DYMM untuk menyelesaikan polemik dan tekanan-tekanan ke atas isu kepentingan syariah di dalam negara dalam tempoh yang terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!