Nazri angkat sumpah ADUN Simpang Jeram

Nazri mengangkat sumpah sebagai ADUN Simpang Jeram pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar pada Khamis. - Foto Ketua Pengimbang Johor
Nazri mengangkat sumpah sebagai ADUN Simpang Jeram pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar pada Khamis. - Foto Ketua Pengimbang Johor
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Ir Nazri Abdul Rahman mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.

Nazri, 56, yang juga bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar, mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram pada 9 September lalu, Nazri yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti undi 3,514 undi selepas memperoleh 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon bebas S Jeganathan (311 undi).

PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61 tahun, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Mohd Puad seterusnya mengucapkan tahniah kepada Nazri yang memenangi PRK DUN Simpang Jeram dan Suhaizan Kayat dari Pakatan Harapan di Parlimen Pulai.

"Syukur ke hadrat Illahi dan kita akan bekerjasama demi rakyat Johor. Jadi wakil rakyat sepertimana titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pelihara imej dan kreadibiliti DUN Johor.

"Sudah 18 bulan kita menjadi ADUN, sepatutnya bertambah pengalaman, kita menjadi lebih matang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, Mohd Puad merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Salahuddin dan memohon semua ADUN bertafakur seketika manakala ADUN beragama Islam membaca Al-Fatihah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!