Angka kematian banjir besar di Libya meningkat 5,500
TRIPOLI - Angka kematian akibat banjir dahsyat yang melanda timur Libya telah meningkat kepada 5,500 orang manakala 7,000 lagi cedera, Xinhua memetik seorang pegawai tempatan sebagai berkata pada Rabu.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan yang berpangkalan di Tripoli, Osama Ali berkata, jumlah sebenar kematian penduduk belum dapat ditentukan kerana masih ada lagi mayat ditemui dari kawasan terjejas.
Beliau berkata, kira-kira 10,000 orang telah dilaporkan hilang manakala 30,000 lagi hilang tempat tinggal akibat banjir.
Kawasan terjejas banjir kini berdepan kekurangan bekalan asas yang teruk, tambahnya.
Pada Ahad, ribut Mediterranean mendarat di timur Libya, mencetuskan banjir dan menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur di sepanjang laluannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!