Yadim junjung titah Sultan Selangor, teruskan usaha perpaduan ummah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mendokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan semangat kesatuan dan perpaduan antara kaum dalam negara.

Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, institusi dakwah itu secara berterusan menganjurkan program-program bagi memupuk kefahaman Islam sebagai cara hidup yang mementingkan keharmonian dan kesejahteraan sejagat.

Menurutnya, program anjuran Yadim sentiasa memfokuskan seruan perpaduan dalam kalangan pesertanya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Sebagai rakyat Malaysia yang mendokong perlembagaan negara, seharusnya kita menghayati dengan penuh insaf kenyataan oleh Sultan Selangor yang menekankan soal perpaduan negara yang semakin lama semakin rapuh.

"Hal ini kerana sikap segelintir pimpinan politik yang meniupkan api perkauman sempit dan permusuhan dalam kalangan masyarakat bagi meraih sokongan dan undian sepanjang tempoh kempen pilihan raya," katanya menerusi kenyataan.

Katanya, kempen pilihan raya negeri sudah selesai dan semua pihak perlu berhenti berpolitik untuk memberi fokus membangunkan masyarakat dan ekonomi.

"Tidak perlu lagi mengheret ummah ke acara membuang masa, tidak berfaedah dan menyusahkan masyarakat seperti cadangan berhimpun di Kuala Lumpur pada 16 September ini, kononnya atas nama ‘Selamatkan Malaysia’.

"Ia tidak lebih daripada sesuatu yang dianjurkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab sebagai retorik politik," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Sultan Selangor telah memberi jaminan penuh hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam akan dipelihara oleh Majlis Raja-Raja.

Tambahnya, baginda turut mengingatkan pimpinan politik untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa apatah lagi fatwa tersebut dikeluarkan oleh pihak yang tidak mempunyai kredibiliti dan autoriti.

"Situasi ini sepanjang masa cuba dibendung dan dicegah dengan penuh kebijaksanaan oleh kerajaan berpandukan nasihat daripada Majlis Raja-Raja bagi memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat tidak diganggu gugat.

"Sepatutnya perkara ini mendapat kerjasama semua pihak terutama pembangkang sebagai tanda menjunjung rukun negara kelima - Kesetiaan Kepada Raja dan Negara," katanya.

Pada Selasa, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua rakyat terutama pemimpin politik agar menghentikan perbuatan mengeluarkan sebarang fatwa dengan secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat negara ini.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam menegaskan, fatwa di negara ini hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti setelah mendapat perkenan daripada raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan sesuatu hukum tersebut.

Baginda bertitah, sekiranya fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang politik dan pemimpin politik, ia pasti akan mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!