[VIDEO] Pemandu e-hailing mengaku bersalah amang seksual anak kandung
BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu e-hailing mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia 13 tahun pada tahun lalu.
Tertuduh berusia 63 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Noor Aini Yusof di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, di sini pada Khamis selepas pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak.
Warga emas tersebut didakwa melakukan kesemua pertuduhan terhadap anak kandungnya itu di sebuah rumah di sini antara Mac hingga Jun 2022.
Dengan itu, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual terhadap mangsa yang mana, tertuduh mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai bapa kandung.
Oleh demikian, tertuduh telah didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(2)(a) akta yang sama.
Bagi Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, manakala bagi Seksyen 16(2)(a), tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan.
Wan Amira memohon supaya mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana hubungan mereka sebagai anak dan bapa antara tertuduh dengan mangsa.
Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan untuk dijamin kerana dia tinggal bersama mangsa yang mana, kemungkinan tertuduh akan mengganggu mangsa.
Noor Aini telah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 27 September ini untuk fakta dan hukuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!