Peranakan Cina Terengganu 'orang pakai kain' unik, amal budaya Melayu
KUALA TERENGGANU - Komuniti peranakan Cina sinonim dengan gelaran Baba dan Nyonya, namun di Terengganu mereka lebih dikenali dengan gelaran Cheng Mua Lang yang bermaksud 'orang pakai kain'.
Timbalan Presiden Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Yap Chuah Bin berkata, peranakan Cina terdapat di Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka, dengan di setiap negeri identiti mereka sedikit berbeza walaupun masing-masing cenderung mengamalkan sebahagian besar budaya Melayu.
"Amalan Cheng Mua Lang di Terengganu sama saja seperti Melayu, misalnya dalam aspek pemakaian biasanya kaum wanita pakai baju kebaya, kain batik sarung atau bagi lelaki pakai kain pelikat, sebab itulah dipanggil 'orang pakai kain'," katanya kepada Bernama.
Berkongsi sejarah peranakan Cina di negeri itu, Chuah Bin berkata, mengikut rekod, migrasi penduduk dari Fujian, China ke Terengganu bermula pada Dinasti Ming iaitu sejak abad ke-16, tetapi ada juga yang datang lebih awal sekitar abad ke-12 atau ke-14 dalam jumlah yang kecil dan tidak dicatatkan secara rasmi.
Uniknya, mereka yang berhijrah ke Terengganu datang bersama keluarga masing-masing untuk mencari rezeki dan tidak mengamalkan perkahwinan campur dengan penduduk tempatan.
"Oleh itu, tidak ada perkahwinan campur dengan wanita tempatan seperti masyarakat Baba dan Nyonya yang tiba lebih awal di Melaka.
Perkahwinan kami biasanya diatur keluarga, kami cenderung untuk berkahwin dengan sepupu atau saudara-mara sebelah ibu," kata Chuah Bin.
Disebabkan itu, katanya, susur galur legasi peranakan Cina Terengganu kebanyakannya tidak putus, malah ada yang sudah hampir 10 generasi berbanding di Melaka yang ramai sudah berkahwin dengan orang tempatan.
Menurutnya, walaupun mengamalkan gaya hidup masyarakat Melayu dan berkomunikasi antara 70 hingga 80 peratus menggunakan dialek Melayu Terengganu, peranakan Cina di sini masih mengekalkan kepercayaan agama nenek moyang mereka iaitu Taoisme.
"Kami sangat selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu, bukan tak tahu cakap Cina, tapi lebih senang berbual dalam dialek Melayu Terengganu.
Bila nak cakap bahasa Cina, jadi lambat sikit kena fikir dulu nak cakap macam mana," katanya berseloroh.
Persamaan juga dapat dilihat dalam penyediaan makanan komuniti itu apabila kebanyakan sajian harian serupa dengan masyarakat Melayu tempatan seperti ikan singgang, gulai, kuih-muih, bubur lambuk dan ketupat sotong, malah mereka juga membuat keropok lekor.
"Kami juga hidangkan nasi kunyit (pulut kuning) sebagai tradisi kesyukuran menyambut kelahiran genap 40 hari," katanya yang memberitahu mereka juga makan dengan tangan, tidak menggunakan penyepit (chopstick) dan berhibur dengan dikir atau tarian tradisional Melayu.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan pesat sosioekonomi yang menuntut migrasi penduduk dari negeri asal ke negeri lebih maju telah memberi impak besar terhadap komuniti Cheng Mua Lang, menyebabkan bilangan populasi mereka menyusut.
Menurut Chuah Bin, pada masa ini bilangan keturunan asal komuniti itu di Terengganu semakin mengecil dan hanya tinggal kira-kira 1,000 orang yang masih menetap di seluruh negeri itu.
Dalam usaha mengekalkan tradisi dan komuniti 'orang pakai kain' di Terengganu, beliau berkata, persatuannya sentiasa bergerak aktif dengan menyertai pelbagai konvensyen dan seminar termasuk di luar negara untuk memartabatkan budaya serta tradisi Cheng Mua Lang.
"Kami merupakan satu daripada daripada 14 persatuan peranakan Cina yang aktif di Asia Tenggara dan setiap tahun kami adakan perhimpunan termasuk di luar negara seperti di Thailand dan Indonesia untuk berkongsi maklumat serta idea bagi mempertahankan legasi peranakan Cina.
"Setiap tahun kami dapat sokongan pelbagai pihak untuk anjurkan festival berkaitan peranakan Cina dan pada 2 hingga 4 Oktober ini kami akan menganjurkan festival di KTCC Mall, di sini.
Diharapkan orang ramai dapat hadir untuk menyaksikan persembahan budaya dan tradisi kami," katanya.
Beliau turut menggalakkan pelajar universiti menyertai persatuan mereka agar memperoleh pendedahan mengenai peranakan Cina Terengganu, sekali gus bersama mencari inisiatif untuk mengekalkan budaya dan tradisi 'orang pakai kain'. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!