Baju Merah 'turun' jika Pemuda PN teruskan demontrasi - Jamal
SHAH ALAM - Kumpulan Baju Merah diketuai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak teragak-agak mengadakan himpunan pada Sabtu ini jika Pemuda Perikatan Nasional (PN) meneruskan Himpunan Selamatkan Malaysia pada hari tersebut.
Jamal berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama rakan-rakan untuk menggerakkan Himpunan Baju Merah bagi melawan gerakan Pemuda PN itu.
"Baju Merah tiada masalah, saya dah jumpa dengan rakan-rakan. Kalau tak puluhan ribu, saya yakin ribuan baju merah akan hadir jika Pemuda PN diteruskan himpunan tersebut.
"Bagaimanapun, 16 September adalah Hari Malaysia, pada saya tak perlu dicemari dengan demonstrasi yang hanya menjerumus persepsi tidak baik negara kepada pelancong dan negara luar," katanya menerusi siaran Facebook Live pada Rabu.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu sidang akhbar pada Ahad lalu memaklumkan pihaknya akan menggerakkan himpunan aman pada 16 September ini di hadapan kompleks beli-belah Sogo susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Fadhli kemudian memaklumkan himpunan itu kemungkinan akan diubah ke lokasi Bukit Bintang.
Jamal berkata, pihaknya tidak setuju dengan tindakan Pemuda PN mahu membuat himpunan tersebut bagi menghasut rakyat untuk membenci Presiden serta parti UMNO.
"Jika mereka nak buat demo untuk hasut rakyat benci Presiden kami, apa salahnya kami juga nak buat demo untuk beri tahu rakyat, himpunan yang dibuat Pemuda PN itu adalah pembohongan semata-mata.
"Paling penting, mereka merupakan ahli Parlimen yang sepatutnya keluar kenyataan dan berbahas di dewan tetapi kenapa hasut rakyat buat demo di kawasan awam yang boleh jejaskan ketenteraman awam," katanya.
Beliau turut menegaskan, Zahid berhak memohon sabitan 47 kes terhadapnya digugurkan susulan pendakwaan tersebut bermotifkan politik.
"Beliau tanggung derita selama lima tahun (sepanjang kes perbicaraan) dengan cercaan dan tekanan yang diterima susulan pendakwaan yang bermotif politik.
"Ketika itu tiada rakyat buat demo sedangkan beliau seorang pemimpin yang banyak berjasa tetapi hari ini himpunan dibuat selepas mahkamah memutuskan DNAA.
"Kenapa mereka (Pemuda PN) tidak fikir secara baik dan adil? Mereka cuba hasut rakyat untuk semai kebencian kepada Presiden dan parti UMNO kami dan saya sedia ketuai himpunan baju merah untuk terangkan pada rakyat, himpunan PN itu bermotif politik," katanya.
,
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!