PRK Pelangai: BN umum calon 20 September ini
BENTONG - Barisan Nasional (BN) Pahang akan mengumumkan calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 20 September ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini lokasi pengumuman tersebut masih belum ditetapkan.
"Kita akan tentukan selepas perbincangan bersama rakan-rakan hari ini (Khamis).
"Untuk jentera parti, semuanya telah lama bersiap sedia, pada masa sama jentera pun bersemangat dan kursus pun sudah dibuat di Janda Baik, baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Kluster Penjaja, Food Rider, Pemandu Teksi dan MyLesen Prihatin di Dewan Orang Ramai Agropolitan Felda Chemomoi dekat sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO menghargai komitmen DAP yang ingin membantu parti itu mempertahankan kerusi DUN Pelangai.
Ia berikutan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk membantu UMNO dengan menggerakkan jenteranya susulan usaha keras jentera BN memenangkan calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September lalu.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang itu berharap kejayaan dapat diterjemahkan di Pelangai dan mereka pun telah terjemahkan di Pahang ketika PRK DUN Tioman lalu.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!