Terpalit kes Acap hilang, Bukit Batu Putih kini 'pulih'
GOPENG - Imej Bukit Batu Putih sebagai lokasi pendakian popular di Gopeng sudah pulih selepas hampir empat tahun terpalit dengan kes kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau dikenali sebagai Acap pada tahun 2019.
Pengurus Besar Gopeng Glamping Park, Mohd Riduan Jamaludin berkata, perkara itu dapat dilihat apabila dalam tempoh dua tahun selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, orang ramai kembali memilih Bukit Batu Putih sebagai destinasi wajib dilawati.
"Pada permulaan kes berlaku dahulu, impaknya sangat besar sampaikan tak ada siapa mahu ambil pakej dan masuk ke Bukit Batu Putih dan Gua Tempurung dengan alasan bimbang dan takut.
"Alhamdulillah, keadaan sudah berubah dan pengunjung kami terima untuk pakej pendakian di bukit ini sekarang bukan sahaja kalangan pelancong tempatan, malah luar negara antaranya dari Itali dan Jerman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Hiking Media Perak di Bukit Batu Putih pada Rabu.
Program anjuran bersama Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) dengan Gopeng Glamping Park itu disertai 20 wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi media sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Mohd Riduan berkata, syarikat operator pelancongan di kawasan itu banyak memainkan peranan dalam menghakis kebimbangan orang ramai terhadap isu tersebut.
Katanya, antara yang sentiasa ditekankan adalah meyakinkan pengunjung bahawa kehilangan Acap tidak berlaku di Bukit Batu Putih.
"Sampai sekarang kehilangan itu tiada jawapan dan diletakkan dalam kes orang hilang, tetapi yang pastinya kehilangan itu bukan di Bukit Batu Putih tetapi berlaku di bawah di sekitar kawasan kampung," katanya.
Kehilangan Acap ketika menyertai Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac 2019 lalu banyak dikaitkan dengan Bukit Batu Putih termasuk melibatkan perkara mistik.
Kehilangannya masih menjadi tanda tanya berikutan sehingga kini tiada sebarang perkembangan atau petunjuk baharu diperoleh.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Bukit Batu Putih yang mempunyai ketinggian 310 meter menjadi tarikan kerana laluan mendaki yang mudah dan sesuai untuk peringkat kanak-kanak seawal usia lapan tahun sehingga warga emas.
Ujarnya, di satu sudut pandangan, puncak bukit itu menyajikan pemandangan menarik berlatar belakangkan kawasan Gopeng sama ada ketika matahari terbit mahupun terbenam.
"Biasanya pendakian bukit ini akan mengambil masa antara 30 hingga 40 minit bergantung kepada keadaan pendaki.
"Di Gopeng Glamping Park, kita sediakan pakej pendakian dengan bayaran RM50 seorang, ini termasuklah perkhidmatan pengangkutan dan jurupandu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, penganjuran program pendakian itu sebagai satu terjemahan semangat patriotisme kepada negara menjelang sambutan Hari Malaysia Sabtu ini.
"Kita buat kelainan sedikit berbanding aktiviti sedia ada yang pernah dianjurkan persatuan. Ini juga sebagai galakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!