Kaunter Zakat Pulau Pinang dibuka sepanjang Ramadan

Kaunter perkhidmatan zakat akan dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan.
Kaunter perkhidmatan zakat akan dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bagi memudahkan orang ramai berurusan, Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan mula membuka kaunter perkhidmatan zakat di kesemua lapan cawangan di negeri ini setiap hari bermula minggu ini dalam bulan Ramadan.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Khairol Azhar Zulkifli berkata, sepanjang hari Isnin hingga Jumaat, kaunter perkhidmatan zakat akan mula dibuka pada jam 8 pagi sehingga 4.15 petang manakala untuk Sabtu dan Ahad serta hari cuti umum ia akan beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Menurutnya, seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, orang ramai yang ingin menunaikan tanggungjawab dalam membuat pembayaran zakat harta boleh berbuat demikian melalui perbankan internet dan perkhidmatan JomPay selain terus berurusan di kaunter.

"Masih ramai yang beranggapan untuk zakat hanya perlu membayar zakat fitrah sahaja pada bulan Ramadan sedangkan banyak lagi zakat yang perlu dibayar seperti zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat ternakan, zakat wang simpanan, zakat pertanian padi dan zakat emas.

"Selain itu, orang ramai juga boleh membuat pembayaran zakat KWSP, zakat Saham dan qadha zakat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Khairul Azhar berkata, untuk pembayaran zakat fitrah orang ramai boleh menunaikan tanggungjawab itu dengan 1,758 amil bertauliah yang dilantik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Katanya, selain pembayaran di kaunter cawangan ZPP dan masjid serta surau di seluruh negeri ini, pihaknya juga akan membuka kaunter bergerak di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Kadar zakat fitrah yang ditetapkan tahun ini adalah RM7 untuk setiap orang dan saya ingin syorkan kepada orang ramai agar tidak membuat pembayaran pada saat akhir bagi mengelakkan kesesakan yang akan berlaku di kaunter pembayaran.

Artikel Berkaitan:

"Pastikan anda membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh MAINPP dan dapatkan resit yang sah selepas membuat pembayaran,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!