Ibu tunggal dulu digelar asnaf kini pembayar zakat
SEREMBAN - Selepas lebih 10 tahun bergelar asnaf, seorang ibu tunggal kini bersyukur mampu keluar daripada kategori itu sejak Disember tahun lalu.
Episod sukar yang pernah dilalui Rohaida Mustapha, 52, selepas kematian suami pada 2004 sehingga memaksanya mengambil upah memotong rumput dan bekerja kontrak untuk menyara kehidupannya sekeluarga kini telah berakhir.
Dia bersyukur mampu hidup lebih selesa selepas mengusahakan perkhidmatan spa dan urutan bergerak hasil bantuan dan sokongan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Menurut Rohaida, dia tergolong dalam kategori asnaf selepas kematian suami ditambah pula perlu menyara tiga anak yang masih kecil waktu itu.
"Hidup saya betul-betul sukar ketika itu dan saya rasa seolah-olah macam kehilangan nyawa.
"Namun mengenang perut anak-anak yang perlu diisi, saya bangkit dan melakukan macam-macam pekerjaan daripada mesin rumput, kerja kontrak sehinggalah pembersihan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Senawang pada Khamis.
Pada masa sama katanya, dia juga akan mengambil peluang untuk mengikuti pelbagai kursus kemahiran yang diminatinya bertujuan memajukan diri.
Tambahnya, peluang menyertai Program Pembangunan Keusahawanan MAINS di bawah kursus My Bidan disifatkan sebagai batu loncatan permulaan mengubah hidupnya.
"Sekarang ini, Alhamdulillah saya mampu memperoleh pendapatan mencecah RM3,000 dengan mengusahakan perkhidmatan spa dan mengurut dari rumah ke rumah.
"Anak-anak pun sudah tamat pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dan kini sedang mencari pekerjaan. Beban saya dah mula berkurang," katanya.
Oleh sebab itu menjadi hasratnya untuk membantu golongan asnaf lain keluar daripada kepompong kemiskinan.
Katanya, tiada siapa yang mampu mengubah hidup seseorang itu melainkan keinginan diri sendiri.
"Peluang itu sentiasa ada dan pokok pangkalnya kita mahu berusaha serta rajin. Saya pun ada tawarkan mengajar kemahiran kepada wanita yang senasib.
"Hidup saya sekarang nak cakap senang sangat, tidaklah. Tapi saya bersyukur ia jauh selesa berbanding dahulu dan saya kini bersedia untuk menjadi pembayar zakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!