Madrasah terbiar selepas pengerusi meninggal dunia
JASIN - Madrasah Ar-Rabbaniyah, Merlimau terbiar sejak beberapa tahun lalu didakwa berpunca apabila berlaku pertikaian selepas pengerusi pusat pengajian itu meninggal dunia pada tahun 2018.
Menurut sumber yang enggan nama dikenali, madrasah yang dilengkapi kemudahan surau, asrama pelajar lelaki dan wanita itu dibangunkan dengan kos anggaran lebih RM1.8 juta melalui sumbangan wakaf orang ramai.
Dia yang pernah bekerja di madrasah itu berkata, selepas beberapa bulan pengerusi pusat pengajian itu meninggal dunia, terdapat pihak yang membuat barisan pengurusan baharu.
Bagaimanapun dia mendakwa pelantikan jawatankuasa tersebut dilakukan tanpa mengikut syarat pertubuhan itu sendiri.
Katanya, disebabkan isu yang timbul, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pertubuhan madrasah pada 2019 dan sehingga kini bekas ahli jawatankuasa (AJK) lama tidak dibenarkan masuk ke premis termasuklah bagi memelihara kesucian mashaf al -Quran yang terdapat di kawasan itu.
"Apa yang menyedihkan dalam tempoh itu telah banyak berlaku kerosakan harta benda dipercayai dilakukan oleh pihak luar yang memecah masuk premis untuk melarikan barangan berharga.
"Empat tahun telah berlalu, namun madrasah masih belum dapat beroperasi seperti sedia kala untuk beri manfaat kepada umat Islam," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Dia berkata, pusat pengajian agama seluas 1.2 hektar tersebut pernah diceriakan seramai 200 pelajar termasuk lelaki dan perempuan, namun mereka terpaksa berpindah ke tempat lain selepas insiden berkenaan berlaku.
Ujarnya, pelbagai pertemuan dan rayuan juga telah dilakukan termasuklah kepada Jabatan Mufti negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta Insolvensi, namun sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian.
Terdahulu Sinar Harian menyiarkan sebuah madrasah swasta yang dahulunya meriah dengan alunan ayat suci al-Quran kini sepi dan terbiar hingga keadaan bersemak samun.
Tinjauan mendapati madrasah yang terletak di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Batu Gajah dipercayai telah lama tidak berpenghuni.
Selain itu terdapat juga bilik-bilik yang yang diletakkan al Quran dan buku agama dalam keadaan bersepah hingga ke lantai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!