Soffi Jikan diperintah bela diri

Soffi ketika hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Soffi ketika hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PETALING JAYA - Pelakon filem KL Gengster, Soffi Jikan diperintah bela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap pertuduhan menggunakan ganja, tahun lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membuat keputusan itu sebentar tadi selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie pada akhir pendakwaan.

"Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membangkitkan kes prima facie," katanya.

Soffi atau nama sebenarnya, Mohamad Soffi Jikan, 49, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Justeru mahkamah menetapkan 28 Jun sebagai tarikh prosiding pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala Soffi diwakili peguam, Datuk Haniff Hassan.

Pada 13 Februari lalu, Soffi mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11 - nor delta-9 tetra hydrocannabinol -9) ke dalam badannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, jam 11.15 malam pada 6 Februari 2018.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan itu, Soffi boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun.

Soffi sebelum ini pernah ditahan reman selama tiga hari berkaitan kes tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!