Mesyuarat KSM, KDN perhalusi permohonan pekerja asing tiga subsektor
PUTRAJAYA - Satu mesyuarat antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan diadakan minggu hadapan bagi memperhalusi mekanisme pengambilan pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas.
Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata mesyuarat itu juga akan memperincikan prosedur dan proses permohonan baharu untuk ketiga-tiga subsektor berkenaan.
"Permohonan (pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor) belum dibuka lagi, mungkin dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar On Combatting Forced Labour in Malaysia di sini hari ini.
Ia sebagai mengulas status permohonan untuk 7,500 kuota pekerja asing bagi ketiga-tiga subsektor itu seperti yang diluluskan Kabinet pada 8 Sept lepas.
Keputusan Jemaah Menteri itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Sept lepas untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor perkhidmatan berkenaan yang sebelum ini dibekukan sejak 2009.
Bagaimanapun Anwar meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!