Amalan buruh paksa dalam negara terkawal

Sivakumar
Sivakumar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memandang serius amalan buruh paksa di Malaysia walaupun ia masih terkawal dan meletakkan sasaran sifar buruh paksa menjelang 2030, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Beliau berkata, komitmen kerajaan menangani buruh paksa boleh dilihat menerusi pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang telah mewujudkan peruntukan baharu menerusi Seksyen 90B berhubung buruh paksa selain melancarkan Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa (2021-2025) (NAPFL).

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pula telah mengambil tindakan apabila 1,321 kertas siasatan telah dibuka terhadap 645 majikan sejak 1 Januari lepas atas pelbagai kesalahan perburuhan antaranya pemotongan gaji yang menyalahi undang-undang.

Dalam tempoh sama juga, 272 majikan telah dikenakan kompaun berjumlah RM2.17 juta manakala 128 majikan telah dikenakan tindakan denda oleh mahkamah berjumlah RM242,000, katanya.

"Tindakan JTKSM itu bukan bertujuan untuk menghukum majikan terlibat sebaliknya sebagai pengajaran agar isu buruh paksa tidak dipandang ringan dalam negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Mencegah dan Membasmi Amalan Buruh Paksa di Tempat Pekerjaan di sini pada Khamis.

Garis panduan setebal 50 muka surat itu merupakan usaha JTKSM dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diterbitkan sebagai panduan kepada majikan dan pekerja serta memupuk kesedaran pihak berkepentingan dalam isu amalan buruh paksa.

Buku tersebut menjelaskan mengenai indikator buruh paksa antaranya penganiayaan terhadap golongan rentan, kerja lebih masa berlebihan dan keganasan fizikal serta seksual.

Berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 2(1) Konvensyen Buruh Paksa 1930, sebarang kerja atau perkhidmatan yang dilakukan seseorang di bawah ancaman apa-apa bentuk dan tanpa kerelaan ditakrifkan sebagai buruh paksa.

Artikel Berkaitan:

Buku tersebut akan diedarkan ke premis kerajaan dan juga majikan swasta dan boleh diperoleh menerusi laman web JTKSM. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!