Selangor laksana bancian pertanian melalui kunjungan ke rumah
KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor akan melaksanakan bancian pertanian kepada semua sektor yang bergiat dalam industri asas tani di negeri ini bermula Julai tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, bancian itu dijalankan secara menyeluruh di seluruh negara oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Izham, langkah itu dianggap penting bagi mengumpul dan memperoleh data terperinci industri pertanian.
"Bancian ini penting untuk kenal pasti jumlah golongan petani, pekebun, pesawah dan penternak yang sentiasa berubah mengikut hasil pertanian masing-masing.
"Masalah utama adalah kita tiada data lebih tepat mengenai pertanian terutama dalam mengenal pasti pengeluaran hasil tanaman dan pembangunan tanah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Inovasi Pertanian Selangor 2023 di Kompleks Pejabat Pertanian Kuala Selangor di sini pada Khamis.
Sehubungan itu, Izham memberitahu, bancian itu akan dilaksanakan secara besar-besaran melibatkan kunjungan rumah ke rumah bagi merekodkan data tersebut.
"Kita sebelum ini memang ada membuat bancian, namun hanya menerusi online (dalam talian) dan hanya melibatkan mereka yang berdaftar.
"Bancian ini akan dibuat ke atas semua pihak terlibat dalam aktiviti pertanian sama ada persendirian, swasta dan koperasi," jelas beliau.
Izham berkata, bancian itu dijangka turut melibatkan negeri lain dan mungkin memakan tempoh masa lama kerana melibatkan jumlah ramai.
"Selain itu, kita mencadangkan bancian itu tidak hanya dalam tempoh tertentu seperti lima tahun namun dibuat secara berkala," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!