Zii Jia tewas pusingan kedua Terbuka Hong Kong
PEMAIN profesional negara, Lee Zii Jia masih gagal mencari rentak terbaiknya selepas tumbang kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hao pada pusingan kedua di Terbuka Hong Kong.
Zii Jia yang berada di ranking ke-16 dunia terpaksa akur dengan kemampuan Chia Hao apabila tewas pertarungan tiga set 19-21, 21-17, 22-20 dalam aksi di Hong Kong Coliseum.
Ia menjadi kekalahan kedua Zii Jia kepada pemain Taiwan tersebut selepas turut tewas pada Terbuka Jerman juga dalam pusingan kedua pada Mac lalu.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mempamerkan aksi cemerlang untuk mara ke suku akhir selepas menundukkan lawan dari Jepun, Kanta Tsuneyama 21-12, 21-11.
Turut mengiringi Tze Yong ke suku akhir adalah beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang melakar kemenangan ke atas pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-13, 21-15.
Mereka akan bertemu satu lagi beregu Taiwan, Lee Yang- Wang Chi-Lin yang menewaskan lawan dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol, 21-17, 21-9.
Pearly Tan-M Thinaah dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei turut cemerlang untuk mara ke pusingan seterusnya.
Jin Wei tidak berpeluh untuk meraih kemenangan selepas lawannya iaitu bekas pemain nombor satu dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon menarik diri.
Pearly-Thinaah pula menundukkan rakan sepasukan Anna Ching-Teoh Mei Xing, 21-17, 21-10 dan akan bertemu pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai di suku akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!