Imigresen tumpas sindiket seludup migran, kahwini wanita tempatan
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Lelaki warga Pakistan yang mengahwini rakyat tempatan dan aktif sebagai dalang sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak Mei tahun lalu akhirnya diberkas di sini, pada Isnin lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Op Gelombang IV bermula jam 9 pagi yang dijalankan sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Kelantan itu berjaya menahan lapan warga Pakistan berusia 30 hingga 50 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama di Pasir Mas berjaya menahan tiga lelaki Pakistan terdiri daripada transporter dan PATI.
"Serbuan kedua di sebuah kediaman di Pasir Tumboh, Kota Bharu yang disyaki dijadikan tempat transit PATI berjaya menahan seramai lima lelaki Pakistan termasuk dalang utama sindiket ini.
"Pasukan operasi turut merampas wang tunai RM2,000, lapan pasport Pakistan yang tidak mempunyai cap masuk ke Malaysia, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kenderaan sedan yang dipercayai digunakan untuk tujuan penyeludupan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, dalang utama sindiket berusia lingkungan 50-an ini ialah pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang dan juga suami kepada wanita tempatan.
Katanya, transporter juga pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku.
"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan siasatan awal mendapati pihak sindiket menguruskan penyeludupan PATI berasal dari Pakistan yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram serta menyasarkan wanita warga tempatan untuk dijadikan isteri di negara ini," ujarnya.
Tambah Ruslin, modus operandi sindiket ialah menyeludup PATI dari Pakistan dengan menaiki pesawat dan mendarat di Thailand.
"Kemudian PATI ini akan dibawa melalui pangkalan haram melintasi sempadan Malaysia-Thailand.
"Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia sebelum dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru," katanya.
Tegasnya, dalang dan transporter disiasat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala enam orang PATI disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!