Mesej tular dakwa peruncit pajak beras di Sabah, KPB minta orang ramai salur maklumat
KOTA KINABALU - Satu mesej tular di aplikasi WhatsApp mendakwa bahawa kegiatan peruncit memajak beras di rangkaian pasar mini dipercayai berlaku di negeri ini.
Bagaimanapun, waktu kejadian dan lokasi tidak diketahui tetapi hanya menceritakan keadaan seorang pelanggan mendapat tahu bahawa beras yang dijual di sebuah rangkaian pasar mini telah dipajak oleh individu dipercayai pemilik kedai runcit di kawasan kampung.
Menurut kenyataan yang tular itu, juruwang mendedahkan bahawa individu yang berada di kedai itu sedang menunggu bekalan beras yang dipajaknya untuk dijual semula di kedai runcit mereka di kampung-kampung.
Beras itu pula dijual lebih mahal berbanding di rangkaian pasar mini dan menyebabkan penduduk kampung bertambah terbeban berikutan harga beras yang sedang meningkat kini.
Tindakan pemilik kedai runcit itu disifatkan mengaut keuntungan segera dan menyebabkan bekalan beras di rangkaian utama kedai runcit berkurangan atau habis.
Sehubungan itu, hantaran itu meminta bantuan daripada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat untuk mengelak penjualan secara pukal berlaku.
Bagi menjawab isu yang tular itu, Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Sabah, Ab Alim Multazam berkata, pihaknya setakat ini belum menerima maklumat secara terperinci mengenai mesej yang tular itu.
"Pihak KPB tidak dapat maklumat itu secara terperinci untuk dijalankan siasatan dan tiada aduan rasmi untuk isu ini.
"Bagaimanapun, jika kita dapat maklumat aduan tempat kejadian, pihak KPB boleh ambil tindakan kerana memajak beras atau membeli beras melebihi 100 kilogram adalah satu kesalahan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau dalam pada itu tidak menolak bahawa isu berkenaan sebenarnya telah berlaku sebelum harga beras baharu dikuatkuasakan.
"Isu ini berlaku sehari sebelum harga baharu dikuatkuasakan, ada pihak yang mengambil kesempatan membeli beras sebelum kenaikan harga dan dijual semula pada keesokannya.
"Ini yang berlaku, pihak KPB tidak mampu berbuat tindakan kerana kami tidak mendapat maklumat lengkap berhubung perlakuan dan tindakan tersebut," katanya.
Sehubungan itu, Ab Alim menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan rasmi jika berlaku seumpama itu di kawasan masing-masing.
"Aduan ini penting untuk pihak kami mengambil tindakan susulan. Orang ramai boleh membuat aduan menerusi Hotline KPB di talian 019-9896568 (Tawau), 088-726978 atau 012-8061220 (Kota Kinabalu) dan 089-227209 atau 011-23396355 (Sandakan)," ujarnya.
Sinar Harian pada 7 September lalu melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan had pembelian maksimum 100 kg beras putih tempatan (BPT) bagi setiap individu berkuat kuasa serta-merta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!