Jual beras tempatan kepada rakyat Malaysia sahaja - Pemuda UMNO

Muhammad Akmal
Muhammad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan polisi mengutamakan penjualan beras tempatan kepada warganegara Malaysia bagi menangani krisis bekalan makanan ruji itu.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu boleh menstabilkan krisis bekalan beras yang meruncing ketika ini.

"Kita tahu beras tempatan murah kerana disubsidikan kerajaan, jadi bantuan ini perlu diberikan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu.

"Saya memohon Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk mempertimbangkan polisi ini buat sementara ini sahaja," katanya dalam Facebook, pada Khamis.

Media pada 5 September lalu melaporkan Mohamad Sabu menyatakan peningkatan mendadak terhadap beras tempatan kebelakangan ini adalah punca berlaku kekurangan bekalan di beberapa lokasi tertentu.

Ia susulan pelarasan harga jualan beras putih import berkuat kuasa 1 September yang diumumkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyaksikan harga barangan keperluan itu meningkat di pasaran.

Tambah Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Melaka turut berharap polisi itu dilaksanakan di seluruh negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

"Tetapi jika tidak boleh, saya meminta ketetapan itu dilakukan di Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Kita patut menjamin rakyat dahulu sebelum orang luar, mereka boleh beli beras import," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!