Takaful IKHLAS sumbang RM180,500 bina telaga tiub di politeknik

Dr Mohd Hariri (kiri) menunjukkan air yang disimpan ke dalam tangki di kawasan pembinaan telaga tiub.
Dr Mohd Hariri (kiri) menunjukkan air yang disimpan ke dalam tangki di kawasan pembinaan telaga tiub.
A
A
A

KOTA BHARU - Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membantu meningkatkan penyaluran sumber air bersih kepada warga Politeknik Kota Bharu dan penduduk sekitar menerusi dana patuh syariah berjumlah RM180,500.

Inisiatif dilakukan melalui kaedah IKHLAS Barakah House (IBH) merangkumi penyelidikan geologi, geofizik, pembinaan telaga tiub dan sistem rawatan air.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, melalui kerjasama itu, Takaful IKHLAS menyumbang dana tersebut kepada UKM melalui Yayasan Canselor serta Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan pembinaan telaga tiub dilakukan bermula pada Januari lalu.

“Projek siap pada Mac lalu itu ialah sebahagian daripada program perantaraan berasaskan nilai takaful dan kelestarian masyarakat untuk memberi memanfaatkan penduduk serta komuniti setempat.



“Di samping itu juga projek berkenaan dapat menggalakkan aktiviti penyelidikan dan kepakaran ditingkatkan dalam kalangan warga pendidik serta pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Telaga Tiub di Politeknik Kota Bharu di sini, pada Khamis.

Warga Politeknik Kota Bharu bergambar dengan kenamaan yang hadir pada Majlis Penyerahan Telaga Tiub di Politeknik Kota Bharu.
Warga Politeknik Kota Bharu bergambar dengan kenamaan yang hadir pada Majlis Penyerahan Telaga Tiub di Politeknik Kota Bharu.

Turut hadir, Pengarah Politeknik Kota Bharu, Mohd Fikri Ismail dan Pengarah Yayasan Canselor, UKM Prof Ts Dr Faizal Mohamed.

Rudy Rodzila berkata, Takaful IKHLAS terus berusaha dalam menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat melalui penyaluran bantuan kewangan untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti yang melibatkan komuniti.

Artikel Berkaitan:

Rudy Rodzila (dua dari kiri) dan Mohd Fikri (kiri) melihat sistem penapis air di telaga tiub di Politeknik Kota Bharu.
Rudy Rodzila (dua dari kiri) dan Mohd Fikri (kiri) melihat sistem penapis air di telaga tiub di Politeknik Kota Bharu.

Menurut beliau, pemerkasaan tersebut merangkumi lima bidang utama iaitu pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan dan alam sekitar.

“Bermula tahun 2018 sehingga kini, IBH sudah mengagihkan kira-kira RM5 juta dalam menjayakan lebih 67 inisiatif berkaitan.

“Takaful IKHLAS merancang lebih banyak kerjasama seumpama ini bagi memberi pelbagai impak positif untuk dinikmati segenap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, FST UKM, Prof Madya Profesional Geologist Dr Mohd Hariri Arifin berkata, penyelidikan projek berkenaan sudah bermula pada tahun 2016 sebelum pembinaan telaga tiub itu dilakukan.

Kata beliau, telaga tiub tersebut dibina dengan kedalaman 100 meter dan boleh menampung penggunaan sehingga 5,000 individu pada setiap hari.

“Kadar potensi hidrogen air daripada telaga tiub ini ialah 6.9, jernih dan tidak berbau.

“Projek pembekalan sumber air bawah tanah ini turut dilengkapi dengan sistem penapis air yang mematuhi standard Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta selamat untuk terus diminum,” kata Dr Mohd Hariri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!